Benarkah politik sepenggal?

A
A

DALAM pengkajian politik daripada kaji selidik Merdeka Center yang telah dilaksanakan pada 5 hingga 11 Mac 2019 yang disiarkan pada 26 April lepas menunjukkan tahap kepuasan hati rakyat terhadap kerajaan Persekutuan pada 11 Mac 2019 merudum kepada 39 peratus.

Malahan berdasarkan kaji selidik itu juga, tahap kepuasan hati rakyat terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad pada 11 Mac 2019 didapati turut jatuh kepada 46 peratus. Dalam formula matematik kebarangkalian, PH dijangka kalah jika berlakunya PRU dalam tempoh enam bulan hingga satu tahun iaitu tempoh jangka sederhana.

Berdasarkan penelitian isu-isu menjadi tajuk perbualan atau yang sering terpapar dalam media massa menunjukkan beberapa pembahagian yang bakal beri impak kepada PH atau mana-mana parti.

Pertama, isu asas yang menjadi akar umbi kepada persoalan-persoalan politik yang berlaku. Contohnya isu pelanggaran kontrak sosial yang kini semakin panas. Bermula dengan isu bahasa, isu agama, isu kedudukan hak istimewa Melayu dan terkini isu perlembagaan mengenai kuasa dan sempadan had kedudukan raja-raja Melayu.

Sebenarnya, majoriti masyarakat hari ini kurang mengambil tahu akan kontrak sosial. Tetapi mahu tidak mahu, sensitiviti budaya emosi Melayu masih lagi terikat dengan isu kontrak sosial.

Majoriti penganalisis politik luar jarang membincangkan isu kontrak sosial apabila berbicara tentang soal politik Malaysia. Mereka terlupa walau apa pun strategi yang digunakan untuk memenangi hati rakyat Malaysia tidak akan sesekali dapat memenangi hati rakyat Melayu jika isu kontrak sosial diketepikan. Permasalahan tidak memahami budaya pemikiran politik Melayu menyebabkan timbulnya isu agenda Melayu dan agenda Malaysia. Melayu tidak boleh dipersalahkan andai kata mana-mana parti gagal memenangi hatinya. Ini kerana adalah menjadi lumrah manusia tidak boleh lari daripada hak dan agenda kaumnya.

Isu-isu taktikal menjadi panas apabila aktor-aktor politik tidak mampu menunaikan tanggungjawabnya atau tidak mampu melaksanakan apa yang dijanjikan. Contohnya isu menunaikan janji manifesto dalam PRU. Jika diteliti adalah mudah membuat seribu satu janji sewaktu sebelum PRU. Matlamatnya adalah memenangi persepsi para pengundi.

Di sini wujudnya pertembungan matlamat politik dan matlamat rakyat. Sering kali isu taktikal boleh menyebabkan rating populariti kepimpinan parti pemerintah jatuh. Jika tidak ditangani dengan baik akan memberikan satu imej yang kurang baik dalam jangka masa panjang.

Malahan isu taktikal juga boleh berlaku pada peringkat lokal dan bukannya nasional. Pada peringkat lokal, isu taktikal lebih berkesan berbanding isu nasional. Ini disebabkan isu lokal boleh mempengaruhi satu persepsi yang lebih kukuh.

Isu-isu berimpak tinggi selalunya melibatkan golongan elitis politik, elitis ekonomi, elitis sosial dan elitis pentadbiran negara.

Contohnya perpecahan dalaman parti sebenarnya membawa seribu satu rahsia sesebuah parti yang berkemungkinan menyebabkan kejatuhan parti tersebut. Ini pernah berlaku pada UMNO semasa berlakunya krisis 1999. Krisis 1999 menyebabkan satu gerakan reformasi terbentuk dan akhirnya berlakulah politik baharu.

Politik baharu ini telah dijanakan tenaganya apabila Tun Dr Mahathir meninggalkan UMNO pada tahun 2016. Sekali lagi UMNO sudah menemui jalan penamat apabila tiada strategi yang dapat mensinergikan semula UMNO. Situasi ini menyebabkan kekalahan UMNO pada PRU14.

Tetapi kini isu paling berimpak tinggi bukan lagi daripada elitis politik. Perpecahan elitis ekonomi dan elitis sosial mampu menggoncangkan demokrasi negara ini jika situasi politik semakin lama semakin panas.

Walaupun ekonomi negara dijangka menghadapi krisis akibat daripada fenomena kejatuhan pasaran kapitalis global, Malaysia masih mampu mengharunginya disebabkan fundamental ekonomi yang kuat.

Sebaliknya jika perpecahan elitis ekonomi berlaku di negara ini, maka ekonomi negara mungkin menghadapi zaman kemarau dengan berlakunya beberapa tindakan politik yang kurang memberangsangkan perkembangan ekonomi. Cara menangani permasalahan ekonomi tidak sama dengan cara menangani permasalahan politik.

Begitu juga perpecahan elitis sosial kepada etnik dan berpuak-puak akan mengganggu kestabilan keharmonian negara. Walaupun rasuah berjaya disifarkan oleh kerajaan tetapi perpecahan elitis sosial bakal mencetuskan satu persepsi yang kurang baik ke atas kerajaan.

Persepsi ini akan mempengaruhi kedatangan para pelabur luar ke negara ini. Mungkin ramai terlupa bahawa seperti kita mempunyai satu tanggapan ke atas mana-mana negara, begitu juga rakyat mana-mana negara turut mempunyai satu tanggapan ke atas negara kita.

Peranan media sosial dan media massa yang sering memaparkan situasi ketegangan hubungan etnik mampu menyebabkan perpecahan elitis sosial negara ini. Jika ini berlaku dalam jangka pendek, maka sebaran persepsi negatif akan dibawa keluar dari negara ini dengan mudahnya. Ini bakal menyebabkan ekonomi terjejas tanpa sebarang sebab.

* Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Kelantan


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia

PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.