Pasangan tunang maut kemalangan

Bomba sedang menjalankan operasi menyelamat mangsa dalam kejadian awal pagi tadi.
Bomba sedang menjalankan operasi menyelamat mangsa dalam kejadian awal pagi tadi.
A
A
A

GEORGETOWN - [DIKEMASKINI] Seorang lelaki dan tunangnya maut selepas kereta yang dinaiki terbabas lalu terbalik di Gat Lebuh Cecil, Lebuh Macallum di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, Andy Meyrick, 25 dan Jusse D Dolisip, 29 maut di tempat kejadian berikutan tersepit dalam kereta Proton Persona yang remuk.

Menurutnya, ketika kejadian, kereta yang dipandu Andy datang dari arah Pengkalan Weld menghala ke arah Relau, kira-kira jam 2.45 pagi tadi.

"Ketika tiba di tempat kejadian, kereta terbabit hilang kawalan dan terbabas lalu merempuh perhentian bas di tepi Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu. Akibat rempuhan itu, kereta tersebut telah melanggar sebuah van yang berada di kawasan perumahan flat berdekatan.

"Pasangan dari Sabah itu maut di tempat kejadian. Pasukan bomba berjaya mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit dalam operasi yang mengambil masa dua jam 30 minit," katanya ketika dihubungi tadi.

Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa yang bekerja sebagai jururawat di sebuah hospital swasta di Pulau Tikus di sini dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Penguasa Bomba Kanan, Balai Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai, Saiful Bahri Abdul Kadir berkata sepasukan bomba dari Balai Bomba Lebuh Pantai dan Jalan Perak melakukan kerja- kerja mengeluarkan mangsa dengan menggunakan 'rescue tool'.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, operasi menyelamat tamat pada jam 5.56 pagi tadi.