DPIM komited realisasi pelan strategik misi Kemakmuran Bersama

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Usaha kerajaan Pakatan Harapan (PH) memperkenalkan tujuh tujuh pelan teras strategik disifatkan sebagai langkah proaktif dalam mendepani cabaran ekonomi domestik dan global.

Setiausaha Agung Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), Muhamad Amin Fahmi berkata, dalam tempoh setahun, kerajaan PH berjaya memperkenalkan pelbagai program rangsangan ekonomi diperkenal dalam usaha memastikan aliran perkembangan ekonomi sentiasa berada dalam keadaan positif.

“DPIM melihat pelan teras strategik dengan misi Kemakmuran Bersama ini dapat mereformasikan ekosistem dan merancakkan ekonomi Malaysia melalui penglibatan inklusif pemegang taruh terutama daripada sektor perindustrian.

”Pemfokusan kepada industri berimpak tinggi dan mempunyai nilai yang baik adalah penting untuk menjadikan Malaysia terus relevan di pentas perniagaan global seterusnya membuka lebih banyak peluang perdagangan dan pelaburan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, beliau turut berpendapat, seiring dengan ledakan teknologi, perhatian lebih serius harus diberikan terhadap industri halal Malaysia kerana ia dilihat mempunyai potensi yang sangat besar dalam konteks perdagangan global.

“DPIM yakin inisiatif pemerkasaan industri halal global bakal menjadi satu cabang ekonomi berimpak tinggi dan Malaysia sendiri dilihat mempunyai kelebihan persaingan melalui sumber kepakaran modal insan serta kedudukan geografi yang strategik dan ekonomi bidangan yang ideal untuk menjadi peneraju industri halal dunia.

”Industri halal dunia kini bernilai melebihi AS$3 trilion tidak hanya terhad kepada industri makanan dan minuman semata, malah melangkaui kepada industri kewangan, pelancongan, kosmetik dan kecantikan, fesyen, serta perubatan, farmaseutikal dan kesihatan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan PH umum tujuh teras capai kemakmuran bersama

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, DPIM telah meletakkan fokus kepada industri halal dan sektor ekonomi baharu yang berorientasikan teknologi terkehadapan (advanced technology) selari dengan agenda dan kemajuan teknologi dan industri di peringkat nasional dan global.

”Hal ini juga telah dibincangkan bersama Menteri Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali semasa kunjungan hormat DPIM ke pejabat beliau baru-baru ini dan beliau menekankan pentingnya peranan Malaysia dalam industri halal.

“Justeru, DPIM melalui jaringan hubungan perdagangan antarabangsa yang strategik bersedia menggembeleng usaha dan sumber untuk menjadikan Malaysia sebagai hab halal dunia dengan mempelawa syarikat-syarikat global untuk memilih Malaysia sebagai rakan dagang halal utama,” ujarnya.

Sementara itu, beliau juga berpendapat bahawa usaha pemberdayaan modal insan juga perlu dilakukan selari dengan kemajuan arus teknologi agar modal insan era moden lebih beretika dan berintegriti.

”DPIM komited untuk bersama kerajaan sebagai penyumbang signifikan kepada pembentukan kerangka utama dan pertumbuhan ekonomi Malaysia melalui penglibatan aktif syarikat ahli yang berskala Mikro, Kecil dan Sederhana (MSME) yang telah mendasari kepada angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

”Harapan DPIM agar pelan teras strategik ini dapat menjamin kelestarian dan keadilan ekonomi Malaysia dalam usaha merapatkan jurang ekonomi rakyat serta mendepani cabaran ekonomi semasa dan seterusnya meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara yang dihormati dunia,” katanya.