'Tindakan Abdul Latiff mengecewakan'

Abdul Latiff
Abdul Latiff
A
A
A

JOHOR BAHRU - Umno Bahagian Johor Bahru menzahirkan kekecewaan terhadap keputusan Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad yang bertindak keluar parti baru-baru ini.

Ketua bahagiannya, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, sebagai seorang yang berpengalaman dan juga ‘orang lama’ dalam Umno, Abdul Latiff seharusnya lebih waras adakah keputusannya (keluar parti) itu boleh menjamin penduduk di kawasannya lebih terbela.

Menurutnya, dengan meninggalkan Umno juga tidak semestinya beliau akan mendapat sokongan lebih daripada masyarakat di kawasan itu lebih-lebih lagi melihat daripada situasi politik yang berlaku kini.

“Beliau (Abdul Latif) seorang Ahli Parlimen yang pernah menjadi Adun serta sebagai Exco selain Timbalan Menteri, jadi beliau bukan orang baharu dalam politik.

"Beliau sendiri pernah mengisytiharkan untuk tidak bertanding dalam PRU14 lalu, tetapi apabila beliau setuju bertanding, beliau perlu sedia maklum bahawa jika rakyat mengundi seseorang calon itu, maka itu mewakili parti dan undi rakyat itu sebagai doa ke arah kebaikan.

“Meninggalkan Umno tidak menjanjikan sokongan Ahli Parlimen yang diterima daripada pengundi mereka boleh membawa kepada pembaharuan atau penambahbaikan yang kita tidak dapat daripada kerajaan sekarang," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Shahrir berkata, sebagai seorang yang mempunyai latar belakang politik yang kuat, seharusnya Ahmad Latiff mengambil keputusan yang lebih bermaruah sekiranya mahu meninggalkan parti dengan mengosongkan kerusi parlimen tersebut.

“Saya mewakili Umno Bahagian berpendapat beliau (Abdul Latiff) perlu meletakkan harga diri dan maruah Bangsa Johor sebagai sesuatu yang penting yang beliau patut sanjung serta pertahankan.

Artikel Berkaitan:

"Adalah lebih bermaruah, beliau meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Mersing dan membolehkan satu PRK diadakan untuk rakyat memilih wakil rakyat baharu yang boleh diterima dan membawa suara atau hasrat rakyat di Mersing,” katanya.

Dalam masa sama beliau turut menasihati ahli Umno yang lain terutamanya wakil rakyat supaya kembali semula kepada asas perjuangan parti itu.

"Tak akanlah baru tujuh bulan jadi pembangkang sudah tidak tahan. Kita ini nak bertanding jadi calon untuk nak duduk dalam kerajaan yang memerintah sahajakah? Kalau begitu, apa guna kita berpolitik kalau nak bertanding hanya untuk menang dan nak memerintah.

"Apa kiraan politik mereka ini? Orang politik yang tidak ada perjuangan. Kalau begitu, kita bukan wakil rakyat yang sebenarnya. Yang dah dipilih, kalau rasa tak sesuai (jadi pembangkang), jangan lompat parti, letak jawatan sahaja, rakyat boleh pilih yang lain,” katanya.