Bekalan air pulih 99 peratus, dua kawasan alami kelewatan

Abdul Raof Ahmad
Abdul Raof Ahmad
A
A
A

SHAH ALAM - Peratusan pemulihan bekalan air di Wilayah Klang masih berada di tahap 99 peratus apabila beberapa lokasi dan premis di Bandar Putera 2 dan Taman Sentosa yang menerima bekalan melalui Kolam Lipat Kajang masih belum dapat pulih sepenuhnya.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan & Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Abdul Raof Ahmad berkata, kelewatan pemulihan sepenuhnya di dua kawasan ini adalah disebabkan paras Kolam Lipat Kajang masih belum dapat mencapai paras optimum dan menyebabkan tekanan aliran di sistem agihan tidak stabil.

"Untuk makluman pelanggan, bagi mengurangkan impak gangguan, pihak kami melaksanakan tindakan pemulihan bekalan melalui kaedah alternatif sementara pihak kami melaksanakan kerja kerja pemasangan dan pengalihan paip baru 1400mm bagi penyelesaian kekal saluran bekalan air kepada pelanggan yang menerima bekalan melalui kolam tersebut.

"Pihak kami mensasarkan kerja-kerja pemasangan jajaran paip utama 1400mm ini akan dapat disiapkan sepenuhnya pada hari ini. Sejurus sistem paip utama baru ini diaktifkan, ianya akan dapat meningkatkan kapasiti bekalan air terawat ke kolam dan pemulihan sepenuhnya kesemua kawasan,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd masih menggerakkan bantuan lori-lori tangki air secara berterusan ke lokasi dan premis yang masih terjejas dan Pusat Khidmat Setempat di Taman Rakyat, Taman Sri Andalas juga masih beroperasi hingga bekalan pulih sepenuhnya.

"Kami amat memahami kesulitan yang dialami dan mohon maaf kepada pelanggan-pelanggan yang berada di kawasan yang masih belum mendapat pemulihan sepenuhnya. Hubungi kami di talian 15300 untuk sebarang pertanyaan dan bantuan atau rujuk aplikasi Air Selangor untuk status terkini," katanya.

Artikel Berkaitan: