Taman Eko-Rimba Mossy Forest jadi lokasi utama pelancongan

Keunikan yang ada di Taman Eko-Rimba Mossy Forest pihak pelancong dari dalam dan luar negara. (Gambar kecil: Mohd Hizamri)
Keunikan yang ada di Taman Eko-Rimba Mossy Forest pihak pelancong dari dalam dan luar negara. (Gambar kecil: Mohd Hizamri)
A
A
A

KUANTAN - Keunikan yang ada di Taman Eko-Rimba Mossy Forest, Cameron Highlands diyakini mampu menjadi penyumbang utama pendapatan dalam sektor pelancongan di negeri ini.

Kawasan pelancongan di kaki gunung Irau itu mempunyai kelainan tersendiri termasuk hamparan lumut yang menarik, laluan pejalan kaki serta cuaca sejuk bakal menarik pelancong dari dalam dan luar negara.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, pada Februari dan Mac lalu Taman Eko-Rimba Mossy Forest dan Sungai Pauh Cameron Highlands mencatat kutipan hasil tertinggi iaitu RM112,867.

Menurutnya, jumlah berkenaan dijangka akan terus meningkat terutama daripada pelancong asing.

"Pelancong luar negara menjadi penyumbang utama hasil pintu masuk atau FI di Taman Eko-Rimba Mossy Forest yang mula dikenakan bayaran kepada pengunjung awal tahun ini.

"Pelancong perlu membayar RM15 hingga RM30 seorang dan setiap bulan hasil kutipan diterima lebih RM70,000 dan jumlah berkenaan dijangka terus bertambah,"katanya.

Beliau berkata, tahun lalu jabatan meraih pendapatan lebih RM152,00 hasil kutipan pintu masuk di enam Taman Eko-Rimba di negeri ini.

"Kutipan tertinggi diterima di dua pusat perkelahan terletak di Bentong iaituTaman Eko-Rimba Chamang sebanyak RM86,691diikuti Taman Eko-Rimba Lentang berjumlah RM45,410 dan ketiga Taman Eko-Rimba Sungai Pauh, Cameron Highlands (RM12,315).

Artikel Berkaitan:

"Dalam tempoh dua bulan (Febuari dan Mac) tahun ini jabatan berjaya mengumpul lebih RM162,191 hasil pertambahan pelancong tempatan dan luar negara," katanya.

Mohd Hizamri berkata, pihaknya kini berusaha menaiktaraf kemudahan untuk memberi keselesaan kepada pengunjung Eko-Rimba.

"Antaranya kemudahan seperti jalan, tandas, pondok rehat, tong sampah dan papan maklumat.

"Pelancong tempatan yang berkunjung ke Taman Eko-Rimba Mossy Forest yang pernah menjadi lokasi penggambaran filem Puteri Gunung Ledang hanya perlu membayar RM5 hingga RM10 sahaja.

"Jabatan juga menaiktaraf pelbagai kemudahan di Taman Negeri Endau-Rompin yang akan menjadi produk pelancongan dalam kawasan hutan semulajadi serba lengkap dan moden," katanya.