Budak 10 tahun maut ketika lintas jalan

Lokasi kemalangan yang mengorbankan seorang kanak-kanak 10 tahun di Parit, semalam. Gambar kecil: Muhammad Ammar Raziq Azhar
A
A

PARIT - Seorang murid lelaki tahun empat maut dilanggar motosikal ketika melintas jalan untuk ke surau Kampung Ekor Lambat di sini semalam.

Dalam kejadian itu, Muhammad Ammar Raziq Azhar, 10, mahu mendapatkan bapanya yang sedang melakukan persiapan moreh di surau berkenaan.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihaknya menerima makluman kemalangan maut itu daripada pihak Hospital Changkat Melintang (HCM).

“Siasatan awal mendapati motosikal jenis SYM yang ditunggang juruteknik berusia 23 tahun itu dalam perjalanan dari Parit menuju ke Bota.

“Setibanya di tempat kejadian dia telah melanggar mangsa yang secara tiba-tiba melintas dari kiri ke kanan jalan,” katanya.

Menurutnya, murid Sekolah Kebangsaan Iskandar Shah itu telah dikejarkan ke HCM untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 6.55 petang.

“Bedah siasat yang dijalankan pada jam 9 malam mengesahkan sebab kematian adalah kecederaan di bahagian kepala.

“Penunggang motosikal terbabit mengalami luka ringan namun, sampel urin dan darahnya diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia Ipoh,” katanya.

Mohamad Zainal berkata, tempat kejadian dilawati dan siasatan diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.