Alumni GPMS setuju matrikulasi dihapuskan tapi bersyarat

Gambar hiasan. Gambar kecil: Syed Anuar
Gambar hiasan. Gambar kecil: Syed Anuar
A
A
A

SHAH ALAM - Alumni Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kebangsaan bersetuju dengan cadangan untuk menghapuskan program matrikulasi dengan syarat ia tidak boleh dilaksanakan tergesa-gesa tanpa ada kajian menyeluruh.

Naib Presidennya, Datuk Syed Anuar Syed Mohamad berkata, banyak perkara perlu diteliti selain meletakkan tempoh tertentu supaya persediaan awal dapat dilakukan.

Katanya, pihak berkepentingan dalam sektor pendidikan seperti badan bukan kerajaan (NGO), ibu bapa dan pihak-pihak berkaitan juga perlu dipangil sebelum membuat keputusan penting ini.

"Kita (Alumni GPMS Kebangsaan) bersetuju (matrikulasi) kemudahan dan peluang ini dihapuskan tetapi bukan dalam keadaan sekarang, walaupun terdapat penambahan begitu ramai pelajar Melayu di institut pengajian tinggi (IPT) berbanding 20 tahun lepas tetapi ia tidak bermaksud bahawa jumlah itu mencapai matlamat.

"Banyak perkara saya ingat perlu (kerajaan) ilihat dan dikaji sebelum buat keputusan. Kita tidak mahu keputusan itu mempunyai unsur-ubsur politik dan akhirnya akan merugikan (orang Melayu),"katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.

Katanya, dalam keadaan sekarang pelaksanaan untuk menghapuskan matrikulasi tidak boleh dibuat kerana perancangan atau kaedah selepas penghapusan itu belum dibincangkan secara menyeluruh.

Jelas Syed Anuar lagi, kerajaan juga perlu memberi fokus untuk meningkatkan kemampuan pelajar di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) supaya mereka dapat bersedia untuk menghadapi cabaran bersaing secara terbuka untuk memasuki IPT apabila matrikulasi telah dihapuskan nanti.

"Kita tidak mahu kemasukan dikurangkan (apabila matrikulasi dihapuskan) tetapi tahap pencapaian mereka di peringkat SPM berada di tahap yang kurang memberangsangkan,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Ditanya mengenai harapan beliau terhadap kepentingan pelajar Melayu apabila matrikulasi atau dianggap 'pintu belakang' untuk memasuki IPT dihapuskan, katanya pelajar khususnya yang bakal menduduki SPM tahun ini perlu berusaha dengan bersungguh-sungguh jika ingin menjejak kaki ke universiti.

"Saya letak harapan kepada pelajar sebenarnya. Mereka perlu bersedia dan memperlengkapkan diri untuk tidak terlalu meletakkan harapan kepada tongkat (matrikulasi) yang disediakan ini, namun tidak bermakna kita ingin membuang tongkat ini.

"Namun pelajar mesti diajar untuk bersiap sedia dengan perubahan yang ada diharapan mereka kerana cabaran tidak sama lagi dengan cabaran 30 tahun lalu, hari ini mereka perlu bersaing di atas padang yang sama (dengan pelajar kaum-kaum lain),"katanya.