PH usaha raih sokongan rakyat

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menyampaikan sumbangan kepada penerima sambil diperhatikan Amirudin pada Majlis Iftar Perdana Bersama Pemimpin di Kampung Bukit Badong semalam.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menyampaikan sumbangan kepada penerima sambil diperhatikan Amirudin pada Majlis Iftar Perdana Bersama Pemimpin di Kampung Bukit Badong semalam.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Pimpinan PH diminta melipatgandakan usaha, selain meneruskan amanah dan memikul tanggungjawab yang diberi rakyat pada PRU14 lalu.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, semua pimpinan sama ada di peringkat negeri dan persekutuan serta pimpinan akar umbi perlu memastikan rakyat terus menyokong pentadbiran PH.

"Sudah pasti ini bukan satu tanggungjawab ringan, sebaliknya perlu dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh.

"Selain itu, kita perlu muhasabah pada setiap masa dan waktu serta melakukan penilaian kendiri agar dapat perbaiki kelemahan dan juga memenuhi keperluan serta kehendak rakyat," katanya ketika berucap pada Majlis Iftar Perdana Bersama Pemimpin di Masjid Ar Rahman Kampung Bukit Badong, di sini, semalam.

Amirudin berkata, negeri ini misalnya telah melangkah ke frasa seterusnya setelah berjaya melakukan perubahan dalam tempoh beberapa tahun lalu.

Menurut beliau, beberapa anjakan pada awal 2008 dilakukan termasuk menggerakkan dan merubah institusi-institusi seperti Dewan Undangan Negeri agar lebih berkualiti.

"Kita juga melakukan perubahan dalam pentadbiran kerajaan negeri selain daripada memastikan pentadbiran berjalan baik, mengelakkan rasuah mahu pun pembaziran.

"Begitu juga dengan perlaksanaan program berbentuk kepedulian kepada rakyat yang sudah pasti ini menjadi tema dan contoh sehingga negeri Selangor dianggap sebagai model kepada pentadbiran baru di negara ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Amirudin memberitahu, jika dahulu penekanan diberikan kerajaan negeri adalah memberikan kebajikan dan membantu rakyat di segenap pelosok sama ada baharu lahir hingga ke warga emas.

"Namun kali ini kita cuba mengkaji program bertujuan memperkasa bukan hanya memberikan bantuan berbentuk kewangan sebaliknya cuba melihat sama ada bantuan itu akan melonjak serta memperkasa negeri ke arah lebih baik," katanya.