Suami isteri dihukum penjara dera tiga anak

Tertuduh Mohd Hafiz Abdullah, 31, (tengah) dan isterinya, Farah Nasuha Razali, 28, (belakang) dikawal ketat polis keluar dari Mahkamah Sesyen Kota Bharu selepas dihukum atas kesalahan mendera tiga anak mereka.
Tertuduh Mohd Hafiz Abdullah, 31, (tengah) dan isterinya, Farah Nasuha Razali, 28, (belakang) dikawal ketat polis keluar dari Mahkamah Sesyen Kota Bharu selepas dihukum atas kesalahan mendera tiga anak mereka.
A
A
A

KOTA BHARU - Sepasang suami isteri dihukum penjara enam hingga lapan tahun serta satu sebatan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Tertuduh Mohd Hafiz Abdullah, 31, dihukum penjara lapan tahun dan satu sebatan, manakala isterinya, Farah Nasuha Razali, 28, pula dihukum penjara enam tahun.

Hukuman itu diputuskan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin selepas mereka mengaku salah terhadap lapan pertuduhan mendera tiga kanak-kanak berusia antara 6 hingga 11 tahun itu di Kampung Jejabi Banggu Binjai di sini.

Berdasarkan pertuduhan, Mohd Hafiz didakwa memukul anak kandungnya yang berusia 6 tahun dengan menggunakan kayu hingga bahagian atas tangan mangsa patah pada jam 7.30 pagi, 3 Mei lalu.

Bagi kesalahan ini, tertuduh dihukum penjara lapan tahun dan satu sebatan.

Tertuduh juga didakwa memukul dengan kayu terhadap dua lagi anak kandungnya yang berusia 9 tahun dan 11 tahun hingga mereka lebam pada badan pada jam 7.30 malam, 2 Mei lalu.

Bagi setiap kesalahan ini tertuduh dihukum penjara lima tahun.

Mahkamah turut mengarahkan kesemua hukuman berkuat kuasa dari tarikh mereka ditahan pada 7 Mei lalu.

Artikel Berkaitan:

Farah Nasuha yang merupakan ibu tiri kepada kanak-kanak itu pula dihukum penjara enam tahun kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa sama yang berusia 6 tahun dengan menjirus air panas pada bahagian badan mangsa pada jam 3 petang pada Februari lalu.

Dalam satu lagi pertuduhan, kedua-dua mereka juga sebagai individu yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga ketiga-tiga kanak-kanak terbabit, turut didakwa menganiaya iaitu mendedahkan mereka dengan cara yang mungkin akan menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi antara Julai 2018 hingga Mei lalu.

Polis menunjukkan kayu yang digunakan Mohd Hafiz Abdullah, 31, untuk memukul anaknya hingga patah tangan.
Polis menunjukkan kayu yang digunakan Mohd Hafiz Abdullah, 31, untuk memukul anaknya hingga patah tangan.

Bagi tiga kesalahan itu masing-masing dihukum penjara dua tahun setiap pertuduhan.

Sementara, di Mahkamah Majistret pula, Farah Nasuha turut dihukum penjara dua tahun oleh Majistret Kamarul Hasyime Rosli selepas mengaku salah atas tuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan dengan menendang badan mangsa yang berusia 6 tahun pada jam 7.30 pagi, 3 Mei lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan (penjara maksimum 20 tahun dan sebat); Seksyen 324 Kanun Keseksaan (penjara 10 tahun atau denda atau sebat); Seksyen 323 Kanun Keseksaan (penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya) dan Seksyen 31(1) (A) Akta Kanak-kanak 2001 (denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya).

Kesemua pertuduhan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan kerana hubungan kekeluargaan dan membawa hukuman dua kali ganda dari hukuman asal.

Berdasarkan fakta kes, kejadian dera berlaku apabila ketiga-tiga mangsa yang lapar meminta makanan di rumah jiran menyebabkan bapa kandung dan ibu tiri mereka berang.

Seorang daripada mangsa yang dijirus air panas itu juga disebabkan dia meminta makanan dan mengadu lapar kepada ibu tirinya.

Kejadian turut disaksikan abang mangsa dan jiran mereka.

Mereka juga diabaikan dengan diberi makan dalam kuantiti yang sedikit hanya sekali sehari dan tidak boleh meminta lebih.

Ibu tiri turut pilih kasih dalam menjaga mereka apabila memelihara tiga lagi anak kandungnya paling kecil berusia 11 bulan dijaga dengan baik tanpa kesan kecederaan.

Kesemua mangsa diselamatkan nenek mereka yang membuat laporan polis.

Mangsa dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II dan mengesahkan terdapat kesan penderaan lama akibat dipukul.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri Abu Arsalnaa Zainal Abidin dan Gayathri Sambath manakala mereka tidak diwakili peguam.

Terdahulu, mereka memohon hukuman ringan, namun Abu Arsalnaa memohon hukuman setimpal supaya memberi pengajaran kepada mereka dan masyarakat agar tidak mengulangi kesalahan sama.

“Mereka sebagai ibu bapa walaupun ibu tiri sepatutnya menjadi pelindung, penjaga dan pembela yang memelihara anak-anak ini serta bukannya menganiaya kanak-kanak ini dengan kekerasan hingga bertindak menggunakan sebatang kayu mengakibatkan mangsa cedera parah dan patah,” katanya.

Dera 3 anak lelaki Puku guna kayu hingga patah, jirus air panas Bapa kandung, ibu tiri dihukum penjara Laporan : MOJO Sinar Harian Kelantan ADILA SHARINNI WAHID

Posted by Sinar Harian Edisi Kelantan on Sunday, May 12, 2019