Pengusaha madu kelulut tanggung rugi

Mohd Riban (dua dari kiri) bersama pengusaha madu kelulut yang lain menunjukkan produk madu yang sering dihantar menggunakan kurier.
Mohd Riban (dua dari kiri) bersama pengusaha madu kelulut yang lain menunjukkan produk madu yang sering dihantar menggunakan kurier.
A
A
A

KUALA NERANG - Beberapa pengusaha madu kelulut di negeri ini terpaksa menanggung kerugian ribuan ringgit apabila produk mereka tidak lagi diterima oleh syarikat kurier untuk penghantaran barangan tersebut ke seluruh negara.

Pemilik JKM Trigona Agro Farm, Mohd. Riban Zainon, 45, berkata, mereka berdepan masalah berkenaan sejak awal tahun ini selepas dimaklumkan bahawa pihak kurier tidak lagi menerima sebarang pengeposan dalam bentuk cecair.

Katanya, ketika ini pendapatan mereka hanya bergantung kepada jualan terus di pusat ternakan sahaja.

"Dalam sebulan, ada 200 botol madu saja yang orang beli di sini. Kalau tak sebelum ini yang pos sahaja pun mencecah 800 botol.

"Permintaan madu kelulut ni sangat tinggi sehingga ke Sabah dan Sarawak. Tapi sejak ada peraturan ini, kami tak dapat nak penuhi permintaan pelanggan di sana," katanya ketika ditemui di pusat ternakannya di Kampung Barokhas di sini hari ini.

Sementara itu, Tahirah Mat Hussain, 26, yang bertindak selaku ejen jualan berkata, pendapatannya semakin terjejas sejak tidak boleh menggunakan khidmat kurier tersebut.

"Sebagai ejen, saya banyak bergantung pendapatan dengan hasil jualan madu kelulut ini, apabila pasaran menjadi semakin terhad kami sangat terkesan dan perlu fikir cara lain untuk menampung perbelanjaan keluarga," katanya.

Artikel Berkaitan:

Madu kelulut yang dibotolkan mendapat permintaan tinggi sehingga ke Sabah dan Sarawak.
Madu kelulut yang dibotolkan mendapat permintaan tinggi sehingga ke Sabah dan Sarawak.

Katanya, syarikat kurier sepatutnya menerangkan cara-cara pembungkusan yang betul bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini sekiranya produk tersebut dikhuatiri mudah meletup seperti yang diperkatakan.

"Selama ini, memang kami menggunakan perkhidmatan kurier untuk menghantar produk kepada para pelanggan, jadi kami memohon pihak terlibat untuk mencari penyelesaian bagi memastikan industri ini terus berkembang.

Dalam pada itu, seorang lagi pengusaha madu kelulut di Tunjang, Jitra, Mayzul Md. Zain, 52, berkata, mereka kini terpaksa menggunakan khidmat bas ekspres untuk menghantar produk tersebut buat masa ini.

"Tetapi, pelanggan pula akan mengadu mereka terpaksa pergi ke stesen bas pada pukul 3 atau 4 pagi semata-mata untuk mengambil madu kelulut itu.

"Perkara itu menyusahkan mereka kerana pelanggan kami terdiri daripada pelbagai peringkat usia dan latar belakang.

"Kami sebagai peniaga juga mahu menjaga hati pelanggan dan semestinya mahu barang yang dipesan mereka sampai dengan selamat di depan pintu rumah mereka," katanya.