'Dulu pun kita lawan dan tolak Tun M...'

Datuk Mahfuz Omar
Datuk Mahfuz Omar
A
A
A
IPOH - Semua ahli Amanah diminta bersikap terbuka menerima pemimpin Umno yang ingin menyertai parti berkenaan mahupun parti komponen PH yang lain.

Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berkata, sebaliknya ahli Amanah perlu menjadikan penerimaan parti terhadap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dahulu merupakan lawan mereka sebagai contoh dalam menerima pemimpin Umno yang mahu menyertai Amanah.

"Saya harapkan supaya tidak ada satu perasaan dendam terhadap pembesar dalam kalangan pemimpin atau ahli Umno yang mahu menyertai Amanah atau parti PH yang lain.

"Malah kita sedang bekerjasama dengan dipimpin Tun M yang dahulu kita lawan dan tolak, akhirnya kita boleh menerima beliau," katanya ketika berucap pada sesi penggulungan Konvensyen Nasional Amanah 2018, di Casuarina@Meru, di sini, hari ini.

Tambah Mahfuz, beliau masih ingat ketika mengadakan Deklarasi Rakyat sebelum PH menjadi kerajaan di mana ramai ahli Amanah tidak menerima kerjasama yang dijalankan dengan Dr Mahathir, namun akhirnya ia dapat diterima.

"Kita sendiri sukar nak terima tapi Alhamdulillah dengan fahaman pemimpin Amanah semua peringkat kita terima dan lihat ALLAH S.W.T. beri peluang atas kesilapan yang kita lakukan sebelum ini," katanya.

Bagaimanapun Mahfuz turut memberi peringatan kepada pimpinan Umno yang ingin menyertai Amanah agar meninggalkan tabiat lama mereka dengan tidak membawa budaya lama Umno ke dalam parti berkenaan.

"Saya ingatkan mereka yang ingin sertai Amanah dan PH sila tinggal budaya lama dalam Umno, mereka tak boleh letak politik kuasa untuk mengumpul kekayaan harta bagi diri dan keluarga.

"Kita ada peraturan mana-mana mereka yang sertai Amanah serta kita sendiri jika melakukan kesilapan dan kesalahan bertentangan dengan peraturan dan perlembagaan parti tindakan displin boleh diambil," katanya.
Artikel Berkaitan: