Rancangan Struktur Terengganu 2050 ambil kira dasar Pitas 2030

Dr Ahmad Samsuri (dua dari kiri) menunjukkan borang dan kotak maklum balas serta cadangan yang boleh diisi oleh orang ramai berhubung Pelaksanaan Rancangan Struktur Negeri Terengganu 2050 (Kajian Semula).
Dr Ahmad Samsuri (dua dari kiri) menunjukkan borang dan kotak maklum balas serta cadangan yang boleh diisi oleh orang ramai berhubung Pelaksanaan Rancangan Struktur Negeri Terengganu 2050 (Kajian Semula).
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pelaksanaan Rancangan Struktur Negeri Terengganu 2050 yang sedang dirangka akan mengambil kira dasar Pelan Induk Terengganu Sejahtera (Pitas 2030) melalui prinsip pembangunan sosial dan ekonomi adalah tanggungjawab kerajaan dan rakyat.

Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, selain pandangan rakyat, kerajaan negeri turut mengambil kira maklum balas dan perancangan pihak berkepentingan termasuk Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) menerusi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat dan semua pihak yang terlibat memanfaatkan tempoh 33 hari publisiti dan penyertaan awam draf pelaksanaan rancangan itu membuat semakan, memberi maklum balas bagi sama-sama merancang hala tuju pembangunan fizikal Terengganu.

“Pandangan itu akan diperincikan, diperhalusi dan diambil kira dalam menyediakan Rancangan Struktur sebenar.

“Yang penting kita mendapat pandangan daripada rakyat, dalam masa sama maklum balas serta perancangan daripada pihak lain seperti ECER dan MRL.

"Ia termasuk dasar serta falsafah kerajaan negeri melalui Pitas 2030 yang akan turut diambil kira dalam memastikan rancangan ini bertepatan dengan apa yang diperlukan kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam selepas merasmikan program Publisiti dan Penyertaan Awam Laporan Pemeriksaan Draf Rancangan Struktur Negeri Terengganu 2050 (Kajian Semula) di Dewan Besar, Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah PLANMalaysia (Jabatan Perancangan Bandar dan Desa), Datuk TPr. Rokibah Abdul Latif, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Yahaya Ali, Setiausaha Kerajaan Terengganu, Datuk A Rahman Yahya dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak.

Artikel Berkaitan:

Laporan pemeriksaan draf Rancangan Struktur Negeri Terengganu 2050 (Kajian Semula) yang telah siap dan sedia dipublisitikan ini akan dipamerkan untuk semakan dan maklum balas semua pihak dalam tempoh empat minggu bermula 1 Mei hingga 2 Jun 2019.

Terdapat 10 lokasi tetap pameran untuk semua pihak membuat semakan iaitu di pejabat PLANMalaysia (Tingkat 4, Wisma Negeri), lobi utama semua tujuh pihak berkuasa tempatan (PBT), lobi Wisma Darul Iman dan lobi utama Pusat Transformasi Bandar (UTC).

Rancangan Struktur Negeri Terengganu 2050 dijangka dapat disiapkan pada Oktober depan dan akan sekali lagi dibawa untuk dibentangkan kepada orang awam untuk pandangan dan bantahan.