Zaharuddin senarai lima nama kartel dedak

Zaharuddin Muhammad
A
A

SHAH ALAM - Yang Dipertua Pas Sungai Buloh, Zaharuddin Muhammad menyenaraikan lima nama ahli kartel dedak yang didedahkan beliau sebelum ini.

Bagaimanapun, beliau yang juga merupakan menantu kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hanya memberikan singkatan dan bayangan bagi nama kelima-lima individu yang didakwa terlibat dalam kumpulan kartel dedak tersebut.

Menerusi catatan di Facebook beliau, Zaharuddin menyenaraikan individu terlibat sebagai Dr Husam II (kepala nombor 1), Mr NT, Mr KT, Mr KH dan nama terakhir sebagai 'semua dah tahu'.

"Saya tak berminat sebut nama secara direct (terus) tapi saya akan sebutkan sifat-sifat yang perlu dihindari... yang nombor lima sahabat yang bagus, cuma terlalu ikut kawan-kawan dan jadi front liner (barisan hadapan) untuk bela kawan, dia tahu tak banyak pun.

"(Dalam) ramai-ramai ini, nombor satu itu saja saya nak fokus. Sebab (apa) yang dia buat Mr2 sampai Mr5 tak tahu pun. Dia maha licik mengalahkan Hussam. Sapu kiri kanan. Dengan (Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) pun rapat. Pernah cuba mendedak dengan Azmin tapi tak tahu dapat ke tidak," katanya.

Sebelum ini, Zaharuddin dilaporkan membuat pendedahan mengenai kumpulan kartel dedak yang menerima dana daripada pihak tertentu.

Susulan itu, Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan berkata, menantu Abdul Hadi itu akan dipanggil bagi memberikan penjelasan selepas ini berhubung dakwaannya tersebut.

Mengulas lanjut, Zaharuddin berkata terdapat juga ahli Pas di peringkat akar umbi yang terlibat dengan kumpulan itu namun beliau tidak menyalahkan pihak berkenaan berikutan mereka tidak mengetahui agenda sebenar kumpulan terbabit.

"Misi saya mudah, dedah kartel dedak, selamatkan pimpinan dan parti daripada terpalit imej bohong dan dedak (tidak amanah dan berintergriti)," katanya.

Menerusi kenyataan lain di laman Facebooknya, Zaharuddin turut menafikan dakwaan sebilangan pihak yang mengaitkan kelantangan beliau sejak kebekangan ini adalah bagi meraih sokongan menjelang Muktamar Tahunan Pas pada Jun depan.

Zaharudin berkata, beliau mendedahkan mengenai kartel dedak tersebut adalah disebabkan oleh serangan terbuka Ahli Parlimen Bachok, Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz berhubung larangan henti operasi perniagaan di Kelantan sebelum ini.

"Bila saya jawab benda yang berkait dengan nas hadis yang dikemukakan oleh Nik Abduh itu adalah pada konteks salah, ada cyber trooper yang bangkitkan isu perbalahan personal (isu audio).

"(Bila) buta info tentang latar belakang kartel dedak dan fitnah yang merayap sehinggakan menyebabkan orang bercakap dalil pun dibuang ke laut. Jadi saya rasa perlu dibuat penjelasan sekarang. Dulu tak sesuai sebab melibatkan banyak isu berkait seperti perjanjian persetujuan selesai luar mahkamah Sarawak Report dan sebagainya," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia