Pusat hiburan degil diserbu lagi

Pegawai polis melakukan pemeriksaan tatoo pada anggota badan pengunjung bagi mengenal pasti mereka yang terlibat dengan aktiviti kongsi gelap.
Pegawai polis melakukan pemeriksaan tatoo pada anggota badan pengunjung bagi mengenal pasti mereka yang terlibat dengan aktiviti kongsi gelap.
A
A
A

GEORGETOWN - Walaupun pernah diserbu sebelum ini, sebuah pusat hiburan yang terletak di Jalan Dr Lim Chwee Leong, di sini dilihat masih berdegil dengan menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah.

Pusat hiburan yang baharu menjalankan operasi sejak sebulan lalu itu juga didapati menggajikan beberapa pekerja warga asing tanpa permit yang sah selain disyaki menjadi port kumpulan pertubuhan haram dan kongsi gelap berkumpul.

Dalam serbuan yang diketuai Pegawai Turus Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, Deputi Superintendan Akmal Yahaya menahan empat lelaki berusia antara 22 hingga 26 tahun yang dipercayai terlibat dengan kumpulan kongsi gelap.

Op Bersepadu yang turut disertai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) turut memeriksa lebih 200 orang pengunjung pusat hiburan terbabit dan mendapati ada dalam kalangan mereka yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Pegawai Turus D7 IPK Pulau Pinang, Deputi Superintendan Akmal (tengah) mengetuai serbuan yang dilakukan di pusat hiburan yang betoperasi tanpa lesen sah.
Pegawai Turus D7 IPK Pulau Pinang, Deputi Superintendan Akmal (tengah) mengetuai serbuan yang dilakukan di pusat hiburan yang betoperasi tanpa lesen sah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Zainol Samah berkata, serbuan yang dibuat bermula jam 1 pagi hasil daripada risikan yang dilakukan pihaknya selepas mendapati pemilik premis berkenaan masih menjalankan perniagaan walaupun amaran telah diberikan sebelum ini.

Menurutnya, tindakan tegas dilakukan termasuk merampas pelbagai peralatan audio dan elektronik yang digunakan di pusat hiburan berkenaan oleh pihak MBPP.

Artikel Berkaitan:

"Kita akan melakukan pemeriksaan dari semasa ke semasa di semua pusat hiburan di negeri ini bagi memastikan mereka menjalankan operasi mengikut syarat dan peraturan yang ditetapkan.

"Selain itu kita juga mahu memastikan tiada elemen penyalahgunaan dadah di semua pusat hiburan selain membanteras aktiviti kongsi gelap di negeri ini," katanya ketika dihubungi di sini.

Zainol berkata, empat lelaki yang ditahan kerana dipercayai terlibat dengan kumpulan kongsi gelap akan disiasat mengikut Seksyen 52(3) Akta Pertubuhan 1966 manakala pekerja warga asing yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana salah guna permit kerja.

Katanya, pengurus pusat hiburan terbabit yang berusia 28 tahun turut ditahan untuk diambil keterangan.