Ahli Parlimen Sandakan baharu ziarah pusara bapa

Anggota Parlimen Sandakan Vivian Wong Shir Yee meletakkan jambangan bunga di kubur mendiang bapanya Stephen Wong Tien Fatt di Tanah Perkuburan Kristian Sandakan hari ini. Aktiviti pertama Vivian hari ini sebagai anggota parlimen adalah menziarahi kubur bapanya, yang juga merupakan Anggota Parlimen Sandakan dan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Negeri Sabah sebelum meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 28 Mac lalu akibat serangan jantung.- Foto Bernama

A
A
A

SANDAKAN - Ahli Parlimen Sandakan yang baharu dipilih semalam, Vivian Wong Shir Yee memulakan pagi pertama sebagai wakil rakyat, mengotakan janjinya untuk menziarahi pusara bapanya mendiang Datuk Stephen Wong Tien Fatt yang menganggap kemenangannya semalam sebagai hadiah buat bapanya.

Vivian ditemani ibunya, Datin Florence Chong Mee Fook dan anggota keluarga lain serta rombongan DAP Sandakan, melawat pusara mendiang bapanya di Perkuburan Kristian Sandakan di sini.

Beliau dan rombongan menundukkan kepala di hadapan pusara bapanya sebagai tanda hormat kepada mendiang atas khidmatnya kepada rakyat ketika menjadi ahli Parlimen Sandakan selama dua penggal.

Suasana menjadi pilu apabila Vivian sukar menahan airmatanya daripada mengalir ketika meletakkan jambangan bunga di atas pusara bapanya.

Anak bongsu daripada empat beradik itu mendedikasikan kemenangannya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan itu untuk mendiang bapanya atas bimbingan mendiang dalam arena politik.

Kerusi Parlimen Sandakan kosong berikutan kematian Stephen akibat serangan jantung pada 28 Mac lepas di Kota Kinabalu.

Semalam, Vivian diisytiharkan ahli Parlimen Sandakan yang baharu dengan undi majoriti yang besar iaitu 11,521 mengatasi undi majoriti yang diraih bapanya sebanyak 10,098 pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lepas.

Beliau menewaskan pencabar terdekatnya Datuk Linda Tsen Thau Lin daripada Parti Bersatu Sabah dan tiga calon Bebas iaitu Hamzah Abdullah, Chia Siew Yung dan Sulaiman Abdul Samat.- Bernama

Artikel Berkaitan: