Masalah Klinik Kesihatan DUN Kota Iskandar akan diselesaikan

Dzulkefly (kiri) beramah mesra bersama salah seorang pengunjung Klinik Kesihatan Kampung Paya Mengkuang di sini hari ini.
Dzulkefly (kiri) beramah mesra bersama salah seorang pengunjung Klinik Kesihatan Kampung Paya Mengkuang di sini hari ini.
A
A
A

GELANG PATAH - Pusat Khidmat DUN Kota Iskandar optimis mampu menyelesaikan beberapa aduan berhubung permasalahan infrastruktur dan kelengkapan di semua klinik kesihatan yang berada dalam kawasan mereka.

ADUN Kota Iskandar, Sr Dzulkefly Ahmad berkata, melihat daripada keadaan yang berlaku di empat klinik kesihatan di kawasan berkenaan, didapati ia tidak memerlukan kos terlalu besar.

Sehubungan itu, beliau berkata, usaha berkenaan boleh diselesaikan dalam tempoh terdekat sekiranya pusat khidmat DUN mendapat bantuan agensi atau syarikat di negeri ini menerusi kerjasama dalam program tanggungjawab sosial.

"Aduan telah dibuat ke peringkat kementerian sama ada di peringkat negeri ataupun Persekutuan, tetapi mungkin disebabkan kekangan peruntukan yang dihadapi kerajaan Pusat kini menyebabkan perkara ini lambat diambil tindakan.

"Memandangkan kekurangan ataupun perkara rosak ini adalah dalam jumlah yang tidak besar, jadi pusat khidmat DUN pun boleh bantu, kalau kita mahu tunggu lagi daripada kerajaan Pusat memang akan ambil masa lama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa melakukan lawatan kerja sempena Hari Jururawat Sedunia di Klinik Kesihatan Kampung Paya Mengkuang di sini hari ini.

Terdahulu, tiga klinik kesihatan lain yang dilawati Exco Perumahan, Komunikasi dan Multimedia negeri itu adalah Klinik Kesihatan Taman Universiti, Klinik Kesihatan Kangkar Pulai dan Klinik Kesihatan Gelang Patah.

Dzulkefly memberitahu, antara permasalahan utama di kesemua klinik berkenaan adalah melibatkan kekurangan tempat letak kenderaan, tiada ruang rawatan fisioterapi, penghawa dingin dan kipas yang tidak berfungsi.

Artikel Berkaitan:

"Di Klinik Taman Universiti, mereka menghadapi masalah membuat pendaftaran pesakit secara atas talian disebabkan hanya mempunyai dua komputer sahaja. Paling rugi sekali ialah kami difahamkan klinik ini juga mampu menyediakan rawatan fisioterapi tetapi tiada ruang.

"Selain itu, di Klinik Kangkar Pulai pula, kita menerima aduan tiada tempat letak kereta, untuk perkara ini berkemungkinan kita akan menggunakan tapak kuarters kerajaan di sebelah klinik ini untuk dijadikan tempat parkir," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, masalah dialami Klinik Kesihatan Gelang Patah pula adalah melibatkan kemudahan sembilan unit penghawa dingin di ruang menunggunya tidak berfungsi sejak enam bulan lalu.