Nelayan tradisional mungkin perlu cari kerja lain

Penerima bantuan keperluan makanan di Program Iftar Nelayan Kuala Langat bersama Al-I’tisam di Jeti Kampung Kelanang, Banting semalam. Gambar kecil, Mohd Jaman.
Penerima bantuan keperluan makanan di Program Iftar Nelayan Kuala Langat bersama Al-I’tisam di Jeti Kampung Kelanang, Banting semalam. Gambar kecil, Mohd Jaman.
A
A
A

KUALA LANGAT - Nelayan tradisional mungkin perlu mencari sumber pendapatan baharu susulan tangkapan hasil merosot disebabkan gangguan dan persaingan aktiviti laut.

Pengerusi Persatuan Nelayan kawasan Kuala Langat, Mohd Jaman Haris berkata, nelayan berdepan risiko mencari hasil laut disebabkan kewujudan aktiviti perkapalan, korek pasir dan pencerobohan pukat tunda.

Menurutnya, masalah tersebut dihadapi nelayan bertahun lamanya menyebabkan hasil laut merosot dan semakin kritikal kebelakangan ini.

"Masa depan nelayan masih samar, kami tak tahu aktiviti ini masih boleh diteruskan atau tukar mata pencarian lain disebabkan mengalami kerugian berterusan.

"Kami terpaksa tanggung kos kerosakan dengan hasil tangkapan yang tak setimpal. Dengan dasar kerajaan yang mahu subsidi nelayan dikurangkan, subsidi minyak tak tahu statusnya, mungkin kami tak boleh lagi jadi pelaut," katanya pada Program Iftar Nelayan Kuala Langat bersama Al-I’tisam di Jeti Kampung Kelanang, Banting.

Mohd Shah (kiri) menyampaikan sumbangan kepada penerima di Program Iftar Nelayan Kuala Langat bersama Al-I’tisam di Jeti Kampung Kelanang, Banting semalam.
Mohd Shah (kiri) menyampaikan sumbangan kepada penerima di Program Iftar Nelayan Kuala Langat bersama Al-I’tisam di Jeti Kampung Kelanang, Banting semalam.

Mohd Jaman berharap, kerajaan mendengar keluh kesah nelayan dan meningkatkan penguatkuasaan pencerobohan pukat tunda dan korek pasir di kawasan perairan.

"Kami tak mampu bersaing dengan peralatan moden dan kemajuan pembangunan Selangor serta aktiviti perkapalan di Sungai Klang dengan peralatan terhad serta saiz bot yang kecil.

Artikel Berkaitan:

"Harap penguatkuasaan dilaksanakan bagi menyekat pencerobohan pukat tunda, aktiviti pengambilan pasir yang jangan dibiarkan berleluasa," katanya.

Dalam program itu, seramai 230 keluarga nelayan menerima bantuan keperluan makanan disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Al-I'tisam Relief Program, Mohd Shah Sapiei.

Program dengan kerjasama Management & Science University (MSU) dan Pertubuhan Kebajikan Islam (Perkim) itu turut menyediakan pemeriksaan mata percuma ke atas 64 penduduk kampung yang 30 daripadanya menerima cermin mata percuma.

Muhammad Rafiq Rabi
Muhammad Rafiq Rabi

Ketua Projek Ceria Malaysia al-I'tisam, Muhammad Rafiq Rabi Abdullah berkata, Iftar Malaysia di bawah pertubuhan bukan kerajaan itu menyasarkan saluran bantuan ke atas 500 keluarga nelayan dan asnaf.

"Setiap kali Ramadan al-I'tisam menganjurkan program Iftar dan bantuan awal Ramadan di antara tujuh hingga lapan negara antaranya Yaman, Syria, Palestin, Rohingya dan Kemboja melalui sumbangan orang ramai.

"Di Malaysia, tahun ini kami memfokuskan kepada tiga kelompok yang menghadapi masalah kemerosotan pendapatan disebabkan masalah ekonomi terdiri pekebun getah, sawit dan nelayan selain asnaf," katanya.

Katanya, bantuan disalurkan bergantung kepada dana melalui sumbangan orang ramai dan berharap disalurkan seawal mungkin bagi membolehkan bantuan itu dimanfaatkan sebaiknya.