Zoo Negara terima kelahiran anak zirafah betina

Foto Bernama
Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Zoo Negara di sini menerima berita gembira susulan kelahiran seekor anak zirafah betina pada 18 April lalu.

Anak zirafah seberat kira-kira 50 kilogram dengan ketinggian kira-kira 1.4 meter itu dilahirkan pada waktu pagi dan turut disaksikan pengunjung yang melawat zoo ketika itu.

Pengarah Zoologi, Hospital Veterinar dan Pusat Konservasi Panda Gergasi, Dr Mat Naim Ramli berkata anak zirafah itu adalah kelahiran keenam yang sememangnya amat dinantikan oleh pihaknya sejak tahun lepas.

"Kami menerima lima kelahiran anak zirafah sebelum ini tetapi malangnya keempat-empat ekor tidak dapat diselamatkan disebabkan ibu zirafah itu menolak untuk menyusu anaknya.

"Anak zirafah kelima tahun lepas hanya sempat hidup sehingga lima bulan sahaja dan mati akibat jangkitan kuman," katanya.

Beliau berkata oleh kerana sifat ibu zirafah yang agak agresif dan tidak begitu menerima kelahiran anak-anaknya, pihaknya amat menitikberatkan keadaan ibu zirafah itu sebaik sahaja mengetahui ia mulai bunting.

"Sebaik mengetahui induk betina zirafah mulai bunting melalui pemeriksaan tahun lalu, persediaan rapi terus dibuat termasuk mengasingkan induk.

"Ia penting bagi mengelakkan sebarang tekanan memandangkan tempoh bunting zirafah adalah antara 14 hingga 15 bulan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut keadaan terkini anak zirafah itu, Dr Mat Naim berkata anak zirafah itu kerap berbaring dan sesekali berdiri dan berjalan.

"Ibu zirafah itu kelihatan boleh menerima kehadiran anaknya itu berbanding dengan kelahiran sebelumnya namun masih lagi enggan untuk menyusu anaknya.

"Kami terpaksa memberi susu kambing sebanyak 1.8 liter setiap hari kepada anak zirafah itu.

"Sebaik selesai menjalani pemeriksaan kesihatan, anak zirafah ini sudah mula dipamerkan kepada umum sejak dua minggu lepas. Tentunya ia menjadi antara tarikan terbaharu di Zoo Negara," katanya.- Bernama