'Tahun lepas dengan ibu, tahun ini dengan kawan-kawan'

Normah membantu Mohd Firdaus memilih baju raya di Pasar raya Econsave Bercham, di sini.
Normah membantu Mohd Firdaus memilih baju raya di Pasar raya Econsave Bercham, di sini.
A
A
A

IPOH - Biarpun tanpa ibu di sisi, Mohd Firdaus Abdullah, 12, kanak-kanak tular yang hidupnya seperti gelandangan sebelum ini tetap gembira berpuasa bersama rakan-rakan di pusat jagaan Pertubuhan Badan Kebajikan Anak-anak Yatim Darussalam di Kampung Melayu Sungai Rapat, di sini.

Menurutnya, dia kini tidak lagi bimbang untuk berpuasa kerana segala keperluan dijaga dengan baik selain mendapat sokongan rakan-rakan di pusat jagaan itu.

Walaupun teringat akan ibunya, Mohd Firdaus mengakui tidak lagi kesunyian dan meneruskan hidup seperti kanak-kanak lain.

"Saya azam nak puasa penuh sebab kat asrama seronok. Lepas berbuka boleh makan lagi bila-bila masa. Kawan-kawan pun seronok sebab saya dah ada abang angkat.

"Cuma tahun lepas masa beli baju raya dengan mak tapi tahun ini beli dengan kawan-kawan. Rasa lainlah sikit tapi saya seronok," katanya ketika ditemui pada Majlis Pemilihan Pakaian Raya bersama.

Mohd Firdaus memilih baju raya pilihannya ketika majlis tersebut di Pasar raya Econsave Bercham, di sini, baru-baru ini.
Mohd Firdaus memilih baju raya pilihannya ketika majlis tersebut di Pasar raya Econsave Bercham, di sini, baru-baru ini.

Anak-Anak Yatim Darussalam dan Ibu Tunggal anjuran Kelab Sukan dan Kebajikan Media Perak, Persatuan Pegawai Kanan Majlis Bandaraya Ipoh (Paduan), Hotel Impiana, pasar raya Econsave dan Yayasan Abu Bakar di Pasar raya Econsve Bercham, di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, ditanya mengenai sambutan Aidilfitri, Mohd Firdaus berkata, dia tidak kisah untuk beraya bersama kawan-kawan di pusat jagaan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Mengenai baju raya, Mohd Firdaus berkata, dia suka warna hitam dan baju Melayu yang akan dibeli nanti juga berwarna hitam selain beg galas.

Dalam pada itu, Timbalan Setiausaha Kehormat Paduan, Mohd Syahrizal Azmi berkata, program pemberian baju raya itu merupakan acara tahunan bersama-sama dengan Kelab Kebajikan dan Sukan Media Perak bersama-sama rakan penaja lain.

Mohd Syahrizal (dua, kanan) melihat anak-anak daripada Pertubuhan Badan Kebajikan Anak-anak Yatim Darussalam memilih pakaian.
Mohd Syahrizal (dua, kanan) melihat anak-anak daripada Pertubuhan Badan Kebajikan Anak-anak Yatim Darussalam memilih pakaian.

Menurutnya, seramai 60 anak yatim dan miskin daripada Pertubuhan Badan Kebajikan Anak-anak Yatim Darussalam diraikan pada program ini.

"Ini merupakan tahun keenam penganjuran program dan pada tahun ini ada kelainan sedikit apabila kita libatkan juga ibu tunggal.

"Untuk anak-anak ini kita berikan mereka baju raya dan keperluan lain manakala ibu tunggal pula kita berikan barangan keperluan harian bernilai RM100-RM120," katanya.

Majlis itu turut dihadiri Pengurus Cawangan Econsave Bercham, Shah Effendy Rosman dan Pengarah Jualan dan Pemasaran Hotel Impian Ipoh, Normah Ahmad.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak lelaki menjalani kehidupan tidak ubah seperti gelandangan selepas tinggal seorang diri di rumah sewanya di Jalan Intan, Kampung Dato' Ahmad Said, Manjoi.

Dia yang sudah tidak lagi bersekolah sejak Oktober tahun lalu, tinggal sendirian selepas ibunya yang telah bercerai, ditahan dalam satu operasi pihak berkuasa awal April lalu.