‘Jangan duduk dekat, nanti kena sengat’

Che Ku Lebah tidak pernah terasa hati walaupun sering diusik kerana namanya.
Che Ku Lebah tidak pernah terasa hati walaupun sering diusik kerana namanya.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Menyebut perkataan lebah, ramai mengetahui ia sejenis serangga yang mempunyai sengat dan dikenali kerana peranannya dalam mengahwinkan bunga serta menghasilkan madu dan lilin lebah.

Namun, Lebah yang didapati di Kampung Tanjung Baru, Hulu Terengganu pastinya jauh berbeza dengan spesies lebah di seluruh dunia kerana bukan sahaja tidak mempunyai sengat dan sayap bahkan juga tiada madu.

Mengisi ruangan Kisah Namaku kali ini ialah seorang warga emas yang sering diusik dengan gurauan sengatan lebah dan semut menghurung madu kerana memiliki nama cukup unik iaitu Lebah atau nama sebenarnya Che Ku Lebah Che Ku Teh, 79.

Berkongsi cerita, dia yang lebih dikenali sebagai Mokku berkata, selain gurauan ada juga individu khuatir menyebut namanya ketika berurusan kerana bimbang dia akan terasa hati atau malu, namun hakikatnya dia tidak rasa begitu.

“Dulu masa muda-muda Tok (Che Ku Lebah) kerja di tanah rancangan Felcra. Selain kawan-kawan ada juga pegawai yang sering usik ‘jangan duduk dekat, nanti kena sengat lebah’ apabila berjumpa dengan Tok.

“Ada juga yang berseloroh mengatakan ‘dekat sini banyak semut sebab ada madu lebah’. Semua kata-kata itu Tok anggap sebagai gurauan sahaja yang dapat mengeratkan lagi silaturahim sesama kami.

“Tok tidak pernah terasa hati atau marah apabila ada yang bergurau, sebaliknya rasa suka dan bertuah kerana mempunyai nama lain daripada lain. Mudah orang ingat dan kenal Tok,” katanya kepada Sinar Harian di sini baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Kenalan sekampung, Mamat Ibrahim, 72, bertanya khabar Che Ku Lebah.
Kenalan sekampung, Mamat Ibrahim, 72, bertanya khabar Che Ku Lebah.

Menurutnya, pengalaman ketika di hospital pula adalah antara kenangan diingatinya sehingga kini apabila ada dalam kalangan jururawat bertugas khuatir menyebut namanya.

“Mata sebelah kanan Tok rosak akibat tertusuk kaca setelah bas dinaiki terbabas akibat tayar pancit. Sewaktu mendapatkan rawatan di hospital ada jururawat seperti takut-takut hendak sebut nama Tok, bimbang Tok terasa hati.

“Tok bagi tahulah sebut sahaja, Tok tidak marah sebab itulah nama Tok sebagaimana tertera dalam kad pengenalan. Lepas itu barulah jururawat tersebut tidak khuatir lagi dan ketika itu lama juga Tok dirawat di hospital,” katanya.

Terdetik

Che Ku Lebah berkata, walaupun namanya lain daripada adik-beradik yang lain, dia tidak pernah bertanya mengenai perkara itu kepada kedua-dua orang tuanya walaupun ada sesekali terdetik di hati mengapa namanya sebegitu sewaktu zaman kanak-kanak dahulu.

“Tok sudah tidak ingat berapa jumlah sebenar adik-beradik tetapi yang masih tinggal sekarang dua orang, ramai telah meninggal dunia. Cuma seingat Tok, nama Tok dan seorang adik iaitu Che Ku Setia sahaja yang lain daripada yang lain.

“Nama mak Tok juga unik macam Tok iaitu Che Ku Bukit Che Ku Muda, manakala ayah biasa sahaja, Che Ku Teh Che Ku Wook. Biarpun nama lebah iaitu nama sejenis serangga namun Tok tidak kisah.

“Tok yakin pasti ada cerita tersendiri sebalik nama itu. Anak cucu cicit Tok pun tidak pernah tanya perihal nama Lebah ini dan enam anak Tok semuanya nama biasa kebanyakan orang lain,” katanya.

Che Ku Lebah melayan cicitnya bermain di rumahnya di Kampung Tanjung Baru, Hulu Terengganu.
Che Ku Lebah melayan cicitnya bermain di rumahnya di Kampung Tanjung Baru, Hulu Terengganu.

Warga emas itu turut memaklumkan, nama orang dulu-dulu bukan sahaja lebih ringkas tetapi kebanyakannya diinspirasikan daripada alam sekeliling kerana kehidupan masyarakat dahulu begitu dekat dengan kehidupan semula jadi.