Semangat juang tinggi kunci kejayaan Perak

Pemain Perak Raianderson Da Costa (tengah) melepaskan rembatan ke gawang gol pasukan PKNP pada saingan Piala FA Malaysia di Stadium Perak malam ini. - Foto Bernama
Pemain Perak Raianderson Da Costa (tengah) melepaskan rembatan ke gawang gol pasukan PKNP pada saingan Piala FA Malaysia di Stadium Perak malam ini. - Foto Bernama
A
A
A

TIDAK mudah berputus asa dan semangat juang yang tinggi menjadi kunci kejayaan Perak membenam PKNP FC 2-1 dalam aksi suku akhir kedua Shopee Piala FA 2019 yang berlangsung di Stadium Perak, di sini, malam tadi.

Ketua jurulatih Perak, Mehmed Durakovic berkata, beliau amat gembira dengan persembahan dipamerkan anak buahnya terutama pemain import baharu dari Brazil, Ronaldo Henrique Silva yang berjaya meledak dua gol dalam aksi itu.

"Saya amat gembira, mereka (pemain) beraksi penuh bersemangat, tampil dengan 100 peratus komitmen walaupun pada satu ketika perlawanan seolah-olah akan berakhir dengan keputusan seri.

"Saya juga amat berpuas hati dengan persembahan Ronaldo, walaupun baru dua hari bersama pasukan namun dua jaringan yang dihasilkan membantu kita untuk meraih slot ke separuh akhir," katanya dalam sidang media sejurus selesai perlawanan.

Dalam perlawanan itu, dua jaringan skuad The Bos Gaurus dijaringkan Ronaldo pada minit ke-23 dan 88, manakala gol tunggal PKNP FC dihasilkan oleh Giancarlo Lopez pada minit ke-71.

Kemenangan itu sekaligus melayakkan Perak menempah slot ke separuh akhir dan akan bertemu Pahang pada 23 Jun ini di Stadium Darul Makmur bagi aksi timbal balik pertama kejohanan berkenaan.

Selain itu, Mehmed juga memuji para pemain PKNP FC yang memberikan tentangan cukup sengit kepada anak buahnya sehingga ke minit terakhir perlawanan.

Sementara itu, pengendali PKNP FC, Abu Bakar Fadzim berkata, faktor pengalaman dan kesilapan minit akhir di bahagian pertahanan menjadi faktor pemisah anak buahnya gagal melakar kejutan sekaligus layak ke peringkat separuh akhir.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata walaupun sedikit terkilan namun beliau tetap berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan oleh para pemainnya sepanjang 90 minit permainan.

"Apa yang boleh saya katakan, walaupun kelebihan pada satu ketika menjadi milik kita namun dalam 10 minit terakhir Perak terus menekan kita dengan serangan bertali arus dan akhirnya mereka berjaya juga menembusi gawang gol kita pada dua minit sebelum perlawanan tamat," katanya.- Bernama