Malaysia menentang Australia iktiraf Israel

Pejabat Perdana Menteri
Pejabat Perdana Menteri
A
A
A
PUTRAJAYA - Malaysia menentang sekeras-kerasnya tindakan Australia mengiktiraf Baitulmaqdis barat sebagai ibu negara Israel.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu satu penghinaan kepada rakyat Palestin.

“Malaysia percaya pengumuman dibuat sebelum penyelesaian dua negara dilaksanakan ini sebagai tidak matang dan penghinaan kepada rakyat Palestin serta perjuangan menuntut hak mereka.

“Malaysia ulang pendirian bahawa penyelesaian dua negara sebagai jalan terbaik untuk konflik Palestin-Israel,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Australian melalui Perdana Menterinya, Scott Morrison dilaporkan berkata, kerajaannya mengiktiraf Baitulmaqdis barat sebagai ibu negara Israel namun memilih untuk menangguhkan pemindahan pejabat kedutaannya ke Tel Aviv sehingga perjanjian keamanan dicapai.

Katanya, Australia juga memberikan komitmen mengiktiraf Baitulmaqdis timur sebagai ibu negara Palestin apabila kedudukannya sudah diputuskan dalam perjanjian damai.

September lalu, Amerika Syarikat mahu penyelesaian dua negara dijalankan bagi menyelesaikan konflik antara Palestin dan Israel.

Presidennya, Donald Trump ketika mesyuarat bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan pihaknya akan mendedahkan pelan damai dalam tempoh dua atau tiga bulan.

Amerika Syarikat mengumumkan pada bulan Jun bahawa ia akan memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis yang mencetuskan rusuhan besar-besaran di Gaza yang menyaksikan lebih 50 rakyat Palestin terbunuh.
Artikel Berkaitan: