Mikail anugerah terindah buat Wan dan Rozihan selepas 10 tahun menanti

Wan dan Rozihan kini bahagia bersama Mikail yang berusia setahun lima bulan.
A
A

TIADA satu pun pasangan suami isteri yang telah disatukan ALLAH dalam perkahwinan tidak mahukan zuriat.

Bagaimanapun, harus diingat, rezeki setiap manusia itu berbeza-beza.

Ada pasangan yang bernikah bertahun-tahun lamanya, namun, masih belum dikurniakan anak.

Sebaliknya, ada yang baru bernikah kurang setahun, sudah disahkan hamil.

Kelazimannya, masyarakat di sekeliling terlalu sinis. Mereka bercakap tanpa memikirkan perasaan dan sensitiviti individu yang belum dikurniakan cahaya mata.

Pernyataan seperti 'rugi dapat anak lambat, bila tua anak-anak masih kecil' dan 'jangan tunggu lama untuk dapat anak, bimbang nanti tidak berkesempatan untuk menimang cucu sendiri'.

Ah! Kata-kata itu sangat menusuk kalbu dan kejam. Pengalaman itu sebenarnya pernah direntas pasangan Wan Nor Ziana Wan Naim, 38, atau Wan dan Inspektor Rozihan Abdul Rahman, 39.

Bayangkan, selama 10 tahun berkahwin, mereka masih belum mempunyai zuriat.

"Hati mana tidak tersentuh saat melihat anak-anak kecil berlari di depan mata. Itu belum ambil kira saudara-mara di kampung halaman yang kuat memerli. Namun, sebenarnya saya tidak berkecil hati kerana itu semua urusan ALLAH," kata Wan ketika ditemui Femina baru-baru ini.

Selari dengan perkembangan teknologi semasa, Wan berkata, beliau telah mencuba pelbagai cara termasuk dengan teknik persenyawaan in vitro (IVF) yang akhirnya membuahkan hasil.

Buat Rawatan IVF

Sebelum bercerita lanjut, Wan yang bekerja sebagai Pembantu Tadbir di Klinik Kesihatan Bandar Botanik, Klang, Selangor itu berkata, beliau tidak pernah merancang.

Sebaliknya, bersedia untuk menimang cahaya namun rezeki pada masa itu belum lagi berpihak.

"Setahun selepas kahwin, kami berjumpa pakar perubatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk mendapatkan nasihat termasuk membuat pemeriksaan kesihatan dan kesuburan.

Selepas itu, atas saranan pakar, kami ikuti rawatan Intra Uterine Insemination (IUI).

"Sebanyak enam kali rawatan IUI kami lakukan, empat di HTAR manakala dua lagi di pusat perubatan swasta tetapi masih hampa," luah anak kelahiran Merbau Chondong, Machang, Kelantan itu.

Bersandarkan kepada keyakinan, mereka berdua kemudiannya mendapat tawaran mengikuti rawatan IVF di HTAR yang menjalankan kolaborasi dengan Hospital Thomson Kota Damansara.

Wan yang ketika itu baru menjalani rawatan membuang ketumbuhan fibroid sebesar tujuh sentimeter dalam rahim menganggap itu peluang terbaik buatnya dan suami.

"Saya mula menjalani rawatan IVF pada Mac 2016 dengan melalui tiga fasa. Rawatan dilakukan di Hospital Thomson manakala pihak HTAR pula akan menyediakan ubat-ubatan buat saya.

"Tak sangka, selepas hari ke-14, saya telah disahkan hamil. Ya, saya hamil akhirnya selepas 10 tahun menunggu. Sebak sangat hanya Tuhan yang tahu. Akhirnya ALLAH dengar doa-doa yang kami pohon setiap hari," ujarnya sambil memberitahu dia dan suami menggunakan sepenuhnya simpanan mereka sepanjang proses rawatan itu.

Mikail bijak beraksi di hadapan lensa kamera saat gambarnya dirakam.
Mikail bijak beraksi di hadapan lensa kamera saat gambarnya dirakam.

Sokongan suami tidak pernah berbelah bahagi

Wan sangat beruntung kerana memiliki seorang suami yang sangat penyabar dan penyayang.

Rozihan yang sentiasa tersenyum melihat Wan bercerita kepada Femina berkata, beliau yakin ALLAH akan menganugerahkan mereka zuriat cuma belum tiba masanya lagi.

"Pelbagai usaha kami lakukan termasuk menjalani perubatan tradisional dan moden di merata-rata tempat. Sepanjang masa kami berdoa dan serahkan kepada ALLAH agar makbulkan permintaan saya dan isteri," katanya.

Beliau yang bertugas sebagai pegawai polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam itu berkata, proses kelahiran Rayyan Mikail yang kini berusia setahun lima bulan juga ada cerita di sebaliknya.

"Saya jadi takut dengan keselamatan isteri dan anak apabila pakar perubatan memaklumkan isteri saya perlu menjalani pembedahan kerana bukaan rahimnya kecil dan boleh mengancam nyawa anak.

"Seperti satu keajaiban, alhamdulillah pada 14 Disember 2017 sekitar pukul 10.40 malam, saya dengar tangisan zuriat pertama saya. Air mata mengalir tanpa henti, saya bersyukur hanya ALLAH yang tahu perasaan saya ketika itu. Akhirnya saya dapat tatap dan peluk zuriat yang ditunggu-tunggu selama ini sebelum mengazankannya," katanya sebak.

Sesungguhnya, kekuatan dan kecekalan pasangan berkenaan boleh dijadikan inspirasi kepada pasangan yang sedang menunggu zuriat. Tidak lengkap rasanya untuk tidak bertanya tentang persiapan raya si kecil itu.

Ujar Rozihan, beliau dan isterinya menyediakan sepasang baju Melayu comel dan beberapa pasang kemeja untuk si cilik kesayangan mereka itu.

Kehadiran si comel ini benar-benar membahagiakan pasangan suami isteri yang menunggu 10 tahun lamanya.
Kehadiran si comel ini benar-benar membahagiakan pasangan suami isteri yang menunggu 10 tahun lamanya.