X

Kindly register in order to view this article
!

Banyak janji PH telah ditunaikan

A
A

DALAM perutusan perdana sempena satu tahun kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya Khamis lepas, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkongsi maklumat dengan rakyat jelata secara terbuka dan telus.

Beliau membentangkan kejayaan kerajaan PH dalam masa setahun mengambil alih pemerintahan negara. Perdana Menteri mengakui kelemahan dan kekurangan kerajaan baru itu.

Sebagai wartawan tua yang telah melihat perkembangan politik dan ekonomi negara selama hampir 50 tahun, saya berasa amat yakin bahawa keadaan negara akan pulih dan menjadi bertambah baik jika kita semua bersabar sedikit.

Saya faham banyak orang marah malah ada yang merajuk dengan menarik balik sokongan kepada PH. Saya tidak salahkan mereka dan saya rasa saya faham sentimen mereka. Mereka mengharapkan perubahan yang besar dan cepat sebaik saja PH menang pada 9 Mei tahun lalu.

Sebahagian yang kecewa itu menyokong PH tetapi banyak juga, khususnya di luar bandar dan rancangan Felda, adalah penyokong tegar Barisan Nasional dan Pas.

PH sudah mengakui kesilapannya iaitu terlalu banyak berjanji dan tidak cukup bercerita kepada rakyat jelata mengenai masalah yang dihadapi dan berkenaan janji-janji yang telah ditunaikan.

Mungkin nasib Dr Mahathir dan pasukannya kurang baik atau Tuhan menguji keimanan dan ketahanan kita kerana pada ketika PH mengambil alih, ekonomi dunia sedang digoncang teruk oleh tiga perkara.

Pertama perang perdagangan Amerika-China, kedua penarikan diri United Kingdom (UK) daripada Kesatuan Eropah dan ketiga kejatuhan harga bahan mentah yang menyeluruh. Ini ditambah-burukkan oleh pencabulan ekonomi dalam negara oleh pemerintahan kleptokrasi BN pimpinan Datuk Sri Mohd Najib Abdul Razak.

Apa yang ditemui oleh kerajaan PH selepas mengambil alih adalah jauh lebih buruk daripada yang dibayangkan. Seperti yang dikatakan oleh Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam satu temu ramah media baru-baru ini, pemborosan duit 1MDB oleh pihak-pihak yang terbabit berterusan walaupun beliau telah mendedahkannya seawal tahun 2010 iaitu RM8 bilion telah dibawa ke Pulau Cayman.

Natijahnya kerajaan kleptokrasi Mohd Najib amat yakin yang ia boleh terus mencuri wang negara dengan menutup mata rakyat jelata melalui dasar wang adalah raja (cash is king).

Sejak Dr Mahathir mengangkat sumpah jawatan pada 10 Mei tahun lalu dalam suasana penuh kontroversi, kerajaan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi menyelamatkan negara.

Pertama ia menstabilkan kewangan negara, kedua menjana semula pertumbuhan ekonomi, ketiga menyelamatkan agensi-agensi utama yang telah dirosakkan dan keempat mengembalikan keyakinan pelabur dalam dan luar terhadap keutuhan ekonomi kita.

Tetapi seperti hujan yang turun di gunung selepas kemarau panjang, airnya akan mengambil sedikit masa untuk sampai ke kuala. Itu pun bukan semua. Sebahagiannya meresap masuk ke bumi untuk menyuburkan tumbuh-tumbuhan dan menjadi air bawah tanah yang kita manfaatkan dengan menggali perigi.

Dengan latar belakang yang saya sebutkan di atas, penunaian janji kerajaan PH bagi tempoh 10 Mei 2018 hingga 30 April 2019 (11 bulan) sebanyak 39.01 peratus tidaklah terlalu mengecewakan.

Kejayaan ini diukur mengikut status kemajuan 464 inisiatif yang berupa dasar dan tindakan khusus yang dinyatakan dalam setiap janji manifesto PH.

Sebanyak 53 inisiatif atau 11.42 peratus telah ditunaikan manakala 283 inisiatif atau 60.99 peratus adalah di peringkat perancangan atau belum dimulakan.

Banyak reformasi undang-undang sama ada sudah dilaksanakan atau dalam proses pelaksanaan. Semua undang-undang zalim dan menekan rakyat sudah dibatalkan atau dihentikan penguatkuasaannya.

Bukan semua janji boleh dicapai atau akan dilaksanakan dalam masa singkat. Ada yang sengaja ditangguhkan, ditarik balik atau dikaji semula setelah mengambil kira pendapat umum. Ada pengkritik berkata ia adalah pusingan U tetapi bagi kerajaan PH ia adalah sebahagian daripada amalan baru demokrasi yang sensitif kepada tindak balas rakyat jelata.

Hatta perkara yang nampak mudah seperti mengawal harga barang pun tidaklah semudah yang diucapkan kerana sistem yang ada sekarang, misalnya orang tengah, sudah berakar umbi sejak beratus tahun lamanya.

Pengguna yang merungut mengenai harga barang sebenar membantu penerusan sistem ini kerana mereka sendiri memilih menggunakan orang tengah daripada berurusan terus dengan pembekal atau menjual sendiri hasil keluaran mereka.

Jadi walaupun banyak rakyat jelata dan pihak kurang berpuas hati dengan pencapaian kerajaan PH, namun hakikatnya kita telah berjaya memberhentikan rompakan harta negara dan menyekat rasuah daripada menjadi barah masyarakat.

Bayangkan sajalah Tabung Haji yang matlamatnya adalah agama boleh ditunggangi oleh Najib dan kroninya hingga ketandusan wang dan terpaksa diselamatkan dengan suntikan RM17.8 bilion.

Berbilion-bilion duit simpanan Felda diboroskan untuk membeli undi peneroka dan akhirnya kerajaan PH terpaksa membelanjakan RM6.23 bilion bagi memodali semula agensi legasi Almarhum Tun Abdul Razak Hussein itu.

Hendak kritik boleh tetapi mohonlah beri peluang dan doa agar niat baik kita ini direstui dan akhirnya ditunaikan.

Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Nnegara


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!