UMNO bangkit daripada pengajaran

DATUK DIN ADAM
DATUK DIN ADAM
A
A
A

KUALA TERENGGANU - UMNO telah mengambil pengajaran lalu dan berusaha bangkit daripada pengalaman tersebut untuk terus melangkah jauh.

Timbalan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Din Adam berkata, pengalaman tumbang setelah 60 tahun memerintah cukup memeritkan, namun ia tidak sesekali mematahkan semangat ahlinya.

Malah, di sebalik tohmahan dan kritikan yang dibuat, UMNO masih lagi utuh di akar umbi dan tiada cawangannya ditutup di Terengganu.

“UMNO masih lagi bernyawa. Dengan kerusi yang sedikit (10 DUN yang menang), kita sudah ada ‘road map’ apa yang perlu dibuat. Apa yang berlaku sebelum ini, orang hanya menilai UMNO daripada segi kelemahannya.

“Tapi mereka juga perlu melihat dan menilai daripada segi kemampuan di pihak satu lagi, apa kemampuan dan kelemahan mereka. Tidak kiralah sama ada negeri atau Pusat, kita tengok apa yang mereka buat.

“Kekalahan UMNO sebelum ini sebab dinilai daripada segi keburukan UMNO itu sendiri, tidak kepada kemampuan dan apa yang telah dibuat. Tidak apa, kita ambilnya sebagai satu cabaran dan pengajaran untuk terus memperbaiki diri menjadi lebih baik,” katanya kepada Sinar Harian.

Jelas beliau, berbanding parti lain, UMNO ada kekuatannya yang tidak ada parti lain, iaitu kekuatan akar umbi.

Din berkata, beliau terharu dengan semangat dan kesetiaan akar umbi yang terus meletakkan keyakinan pada parti walaupun pelbagai dugaan yang datang sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

“Kekuatan UMNO adalah pada akar umbi. Kita bukannya parti yang berteraskan atas jalanan, berteraskan kebencian. Semangat kita masih lagi tinggi sehingga di peringkat bawah.

“Parti lain seperti PH mana ada akar umbi yang kuat, peringkat bahagian pun huru-hara. Berbeza dengan UMNO yang merupakan parti rakyat yang masih di sanubari mereka,” katanya.

Ditanya kemungkinan kerjasama antara UMNO dan Pas dalam PRU15 akan datang, beliau berkata, UMNO akan mengorak langkah ke hadapan dalam kerjasama ini demi penyatuan ummah.

Beliau percaya, akan ada kaedah-kaedah yang dibuat untuk menzahirkan kerjasama antara kedua-dua parti berkenaan.