Vivian dedikasi kemenangan kepada mendiang bapa

Calon DAP, Vivian Wong Shir Yee (empat, kiri) mengangkat tangan tanda gembira selepas Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan kemenangan beliau dengan undi 16,012 dan majoriti 11, 521 di Pusat Penjumlahan Undi di Dewan Aktiviti Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tiong Hua malam ini. Turut sama Penasihat DAP Lim Kit Siang (dua dari kanan). - Foto Bernama
Calon DAP, Vivian Wong Shir Yee (empat, kiri) mengangkat tangan tanda gembira selepas Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan kemenangan beliau dengan undi 16,012 dan majoriti 11, 521 di Pusat Penjumlahan Undi di Dewan Aktiviti Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tiong Hua malam ini. Turut sama Penasihat DAP Lim Kit Siang (dua dari kanan). - Foto Bernama
A
A
A

SANDAKAN - Ahli Parlimen Sandakan yang baharu Vivian Wong Shir Yee mendedikasikan kemenangannya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan kepada mendiang bapanya Datuk Stephen Wong Tien Fatt yang meninggal dunia pada 28 Mac lepas.

Untuk itu, beliau akan menziarahi kubur bapanya esok bagi menghargai pengorbanan bapanya mendidiknya menjadi seorang insan berjiwa rakyat.

"Saya berterima kasih kepada bapa saya yang telah mempersiapkan diri saya menjadi ahli politik dan menjadikan saya sebagai wanita muda yang berhati waja.

"Kemenangan saya bukan hanya untuk saya, tetapi juga untuk mendiang bapa saya dan keluarga saya, dan yang paling penting, rakyat Sandakan,” katanya selepas diisytiharkan pemenang PRK Sandakan di sini malam ini.

Vivian juga berkata beliau terharu dengan kesungguhan dan dedikasi Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkempen untuknya tanpa mengenal cuaca panas mahupun hujan lebat.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, kemenangan Vivian merupakan hadiah ulangtahun pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan negeri pimpinan Parti Warisan Sabah.

Katanya, kemenangannya akan menyuntik semangat kepada kerajaan untuk bekerja lebih keras lagi demi rakyat dan negara.

Sementara itu, ibu Vivian iaitu Datin Florence Chong berkata kemenangan anaknya itu telah mengubati deritanya selepas kehilangan Stephen akibat serangan jantung.

Artikel Berkaitan:

“Kemenangan Vivian menunjukkan Sandakan masih begitu menghormati mendiang suami saya sehingga menyokong anak kami,” katanya.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang menegaskan bahawa kemenangan Vivian Wong menunjukkan kepercayaan rakyat kepada PH di Putrajaya dan negeri Sabah dibawah pimpinan parti Warisan.

Beliau berkata, ia menunjukkan rakyat mahukan Malaysia Baharu, Sabah Baharu dan Sandakan Baharu.

"Ia juga penolakan kempen "malu apa bossku" yang dilancarkan oleh bekas Perdana Menteri dan rakyat mahukan kerajaan yang bersih," katanya.

Timbalan Pengerusi DAP Sabah yang juga ADUN Tanjung Papat, Datuk Frankie Poon Ming Fung berkata kemenangan itu akan membawa perubahan kepada Sandakan.

Pemangku Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat negeri berkata, beliau bersama Vivian akan berusaha melaksanakan janji bagi memajukan Sandakan.

Dalam pada itu, Benita Wong Shing Yee, 38, kakak kepada Vivian Wong melahirkan penghargaan kepada pengundi Sandakan yang menaruh kepercayaan kepada adiknya.

Namun dalam kemenangan itu, beliau masih merindukan mendiang bapanya yang juga penyandang kerusi Parlimen Sandakan Datuk Stephen Wong Tien Fatt.

"Terima kasih kepada penduduk Sandakan yang menyokong Vivian dan memberi peluang dia berkhidmat kepada Sandakan," katanya. - Bernama

Artikel Disyorkan