Ahli Parlimen lompat parti perlu dedah rasuah terdahulu

Xavier
Xavier
A
A
A
PUTRAJAYA - Ahli Parlimen BN yang melompat parti untuk menganggotai PH perlu mendedahkan segala dakwaan perlakuan rasuah melibatkan pemimpin Umno tanpa gentar, kata Naib Presiden PKR, Dr Xavier Jayakumar.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, ia adalah antara tiga syarat ditetapkan Majlis Presiden PH, yang perlu dipersetujui Ahli Parlimen yang melompat parti.

Sebagai tambahan kepada pengiktirafan dan sokongan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri, beliau berkata, Ahli Parlimen berkenaan harus menegaskan semula komitmen tidak berbelah bahagi kepada perdana menteri yang berikutnya.

Katanya, mereka juga perlu komited terhadap perjuangan PH untuk membawa perubahan positif kepada negara ini menerusi sokongan menyeluruh di Dewan Rakyat bagi usul yang dibangkitkan Ahli Parlimen PH memandangkan perubahan besar PH yang dilihat positif kepada rakyat dan mungkin memerlukan majoriti dua pertiga juga perlu disokong Ahli Parlimen berkenaan.

“Paling penting, mereka kini perlu mengambil peluang ini untuk menyatakan, mendedahkan atau memberi maklumat sebarang dakwaan rasuah yang lain membabitkan pemimpin Umno semasa seperti Datuk Seri Najib Razak atau Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tanpa rasa gentar, bukan sahaja kepada kepimpinan PH tetapi juga kepada rakyat,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Artikel Berkaitan:


Rabu lepas, Umno Sabah lumpuh berikutan pemimpin utamanya keluar beramai-ramai daripada Umno, menyaksikan peletakan jawatan sembilan daripada 10 Adun, lima daripada enam Ahli Parlimen dan 22 daripada 25 ketua bahagian.

Semalam, enam Ahli Parlimen daripada Umno mengumumkan keluar daripada parti itu. - Bernama