Mesyuarat dalam tokong: Exco kesal tuduhan tidak berasas

Gambar kiri: Chee Leong. Gambar kanan: Gambar yang tersebar di media sosial yang mendakwa Chee Leong memaksa pegawai Melayu masuk ke dalam tokong Cina.
Gambar kiri: Chee Leong. Gambar kanan: Gambar yang tersebar di media sosial yang mendakwa Chee Leong memaksa pegawai Melayu masuk ke dalam tokong Cina.
A
A
A
MELAKA TENGAH - “Tiada sebarang paksaan dilakukan,” kata Exco Kesihatan dan Anti Dadah, Low Chee Leong berhubung tular gambar dan video sekumpulan pegawai kerajaan berbangsa Melayu yang bermesyuarat di dalam sebuah tokong Cina di Kampung Tengkara, baru-baru ini.

Katanya, perkara tersebut berlaku ketika beliau dan pegawai berkenaan melawat Kampung Tengkera Pantai 1 dan 2 bagi meninjau permasalahan banjir kilat yang sering berlaku di sana.

Menurutnya, pada mulanya perbincangan bersama wakil persatuan penduduk dan agensi kerajaan itu diadakan di luar kawasan tokong.

Bagaimanapun, katanya, pihak pengurusan tokong mempelawa mereka menggunakan bilik mesyuarat dalam kawasan rumah ibadat berkenaan berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu.

“Kami secara rela hati menerima pelawaan pengurusan tokong itu dan semua yang hadir terus memasuki bilik mesyuarat tanpa ada paksaan untuk meneruskan sesi dialog dan berdiskusi bagi mencari solusi terbaik untuk selesaikan masalah banjir.

“Sesi dialog itu turut dihadiri penghulu Dun Kota Laksamana, pegawai Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), pegawai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), SW CORP, Ahli Majlis Majlis Bandaraya Melaka bersejarah MBMB, Pengerusi serta ketua biro Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Tengkera dan wakil tokong,” katanya kepada Sinar Harian.

Jelasnya, beliau kesal apabila fakta sebenar telah dimanipulasikan oleh pihak tertentu yang dilihat sengaja mengganggu keharmonian antara kaum di negeri ini.

“Rakyat seharusnya elak diri daripada terperangkap dengan prasangka perkauman yang cuba diapi-apikan pihak tertentu bagi menanam kebencian terhadap Kerajaan PH.

“Saya harap insiden seperti itu tidak berulang lagi kerana ia boleh menimbulkan pelbagai persepsi yang salah, sekali gus meniup api perkauman sedangkan perkara tersebut tidak berlaku,” katanya.
Artikel Berkaitan: