Kerajaan Selangor akan tuntut ganti rugi

Amirudin Shari
Amirudin Shari
A
A
A

SHAH ALAM - Pemaju projek pembinaan Lebuh Raya West Coast Expressway (WCE) Banting-Taiping, perlu menanggung ganti rugi susulan kejadian tiga paip utama pecah di kawasan itu yang mengakibatkan gangguan bekalan air di Klang sejak 4 Mei lepas.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, tuntutan ganti rugi itu akan dibuat kerajaan negeri.

Menurutnya, kerajaan negeri kini sedang membuat penilaian kos yang ditanggung akibat kejadian tersebut.

"Sepanjang berlaku gangguan bekalan air, kita bagi keutamaan untuk memastikan bekalan air pulih tetapi malangnya daripada insiden itu masih berlaku kebocoran (air daripada paip) dan kita tiada keupayaan selain membetulkannya.

"Kita sedang membuat penilaian kos yang telah kita tanggung dan bersedia menuntut daripada pihak pemaju yang mengakibatkan bekalan air ini terputus selama beberapa hari," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran Dasar Perumahan Mampu Milik di Elmina Central Park di Shah Alam, Selangor, semalam.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, kejadian paip pecah itu telah pulih sepenuhnya dan masalah itu dijangka dapat diatasi sepenuhnya, hari ini.

“Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) kini sedang giat melakukan kerja pemulihan di kawasan yang masih mengalami gangguan bekalan air,” katanya.

Insiden tiga paip utama pecah di tapak projek WCE sejak Sabtu lepas menyebabkan hampir 800,000 pengguna di 65 kawasan di Klang terjejas.

Artikel Berkaitan: