Saya kena solat dulu depan dia: Siti Nordiana

No Image Caption
A
A
A
KESIBUKAN kerjaya sebagai penyanyi dan pelakon bukan alasan bagi Siti Nordiana, membesarkan anak tunggalnya Rayyan, tanpa lelaki bernama suami di sisi.

Menurut Siti Nordiana Alias atau lebih mesra dipanggil Nana, untuk membentuk anaknya Rayyan membesar menjadi individu yang soleh maka dia sendiri harus menunjukkan contoh yang baik terlebih dahulu.

“Sebagai ibu tunggal, saya sebenarnya kena ubah diri sendiri dahulu sebelum nak bentuk Rayyan. Contoh, kalau saya nak suruh dia solat, saya kena solat dahulu depan dia. Begitu juga perkara lain, saya kena buat dahulu,” ujarnya kepada Sinar Harian.

No Image Caption



Akui Nana, menjadi ibu dan bapa dalam masa yang sama merupakan tanggungjawab besar.

“Saya kena kuat. Biasalah budak adakalanya tak dengar cakap tapi kita sebagai ibu kenalah tegas,” katanya.

Menyedari tanggungjawab yang dipikul begitu berat, Nana pada setiap masa akan muhasabah diri bagi mendapatkan kekuatan.

“Saya suka muhasabah diri. Setiap hari saya akan luangkan masa lebih kurang sejam dengan menonton program motivasi Profesor Muhaya dan Ustazah Asma Harun.

No Image Caption

Artikel Berkaitan:


“Apabila sudah meningkat usia ini kenalah banyak motivasikan diri. Kadang-kadang tergelincir juga. Jadi kena bangun balik,” jelasnya tersenyum.

Sementara itu, berkongsi tentang karier seni di bulan mulia ini, Nana akan mengurangkan aktiviti pentas dan lebih banyak luangkan masa bersama keluarga.

“Alhamdulillah, masih lagi diberikan peluang membuat amal ibadah pada bulan puasa ini, syukur. Jadi, mengambil keberkatan Ramadan, saya kurangkan aktiviti nyanyian dan lebihkan masa bersama keluarga,” ulasnya.

Untuk rekod, Nana mendirikan rumah tangga dengan pelakon drama, Mohd Faizal Yusup pada 29 April 2006. Mereka dikurniakan seorang anak lelaki bernama Muhammad Rayyan Nakhaie, lahir pada 21 Mac 2008.

Namun jodoh mereka tidak panjang apabila bercerai pada 14 September 2009. Faizal meninggal dunia pada 1 Januari 2011 akibat serangan jantung.