Pemuda UMNO ikut jejak Pas tubuh skuad khas

Asyraf melancarkan penubuhan empat skuad di bawah Pemuda UMNO termasuk Skuad Sabil.
Asyraf melancarkan penubuhan empat skuad di bawah Pemuda UMNO termasuk Skuad Sabil.
A
A
A

BUKIT BERUNTUNG - Pemuda UMNO mengikut jejak langkah Pas apabila menubuhkan pasukan beruniform dipanggil Skuad Sabil dan kelab motosikal dikenali sebagai Skuad Bermotor Kesatria Riders Club (K).

Peranan dua skuad itu difahamkan sama seperti tugas Jabatan Amal (Unit Amal) dan Alternative Riding Club (ARC) di bawah kendalian Pemuda Pas.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki melancarkan penubuhan Skuad Sabil dan KERIS bersama dua lagi skuad baharu iaitu Skuad Media dan Digital Selangor serta Aktivis Tuntut, malam tadi.

Asyraf berkata, hasrat menubuhkan empat skuad itu dibincang dan mendapat pandangan baik daripada Pas dalam mencontohi Pas yang berpengalaman lama sebagai pembangkang.

Menurutnya, UMNO sebelum ini menggunakan perkhidmatan anggota beruniform dari pelbagai agensi kerajaan.

"Tapi bila kita jadi pembangkang, kita tak ada apa-apa dan Skuad Sabil ini macam Unit Amal Pas.

"UMNO dekat dengan kumpulan bermotor tapi kita tak ada institusi atau organisai berdisiplin maka jika Pas ada ARC, kita pula ada Skuad KERIS.

"Skuad ini akan pelopori program kesukarelawan dan kebajikan ke seluruh kawasan membantu masyarakat selain kita menerapkan idealisme perjuangan," katanya pada majlis pelancaran empat skuad itu di sebuah restoran di sini, malam tadi.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahalan dan Ketua Pembangkang Selangor, Rizam Ismail.

Asyraf berkata, bersempena Perang Badar yang berlaku pada Ramadan, beliau mahu Pemuda mengambil semangat perjuangan fisabilillah dan berikrar mempertahankan tanah air demi ALLAH.

Menurutnya, Pemuda membuktikan bahawa wang ringgit bukan lagi cagaran apabila hadir pada beberapa perhimpuman aman secara sukarela.

"Hulu Selangor merupakan bahagian ke-75 saya turun temui Pemuda dan dalam tempoh 10 bulan Pemuda UMNO bagi sesi baharu ini, saya lihat Pemuda kembali bangkit," katanya.