Pulau Pinang guna jalur lebar berkelajuan tinggi

Kon Yeow (tengah) bergambar bersama CEO tujuh syarikat telekomunikasi dan Al Ishsal selepas sidang media di Komtar tadi.
Kon Yeow (tengah) bergambar bersama CEO tujuh syarikat telekomunikasi dan Al Ishsal selepas sidang media di Komtar tadi.
A
A
A

GEORGETOWN- Kerajaan Pulau Pinang akan melaksanakan Pelan Induk Kesalinghubungan Pulau Pinang bagi memastikan aspirasi Pulau Pinang 2030 sebagai negeri pintar dapat direalisasikan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata dengan pelaksanaan pelan tersebut Pulau Pinang bakal menjadi negeri berteknologi tinggi di Malaysia.

Menurutnya, selepas ini, Pulau Pinang akan menggunakan perkhidmatan jalur lebar dengan kelajuan gigabyte (GB) bagi semua rangkaian telekomunikasi.

"Bagi merealisasikan Pelan Induk Kesalinghubungan Pulau Pinang ini, kita mengadakan mesyuarat Majlis Infrastruktur Telekomunikasi antara kerajaan negeri dengan tujuh ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat telekomunikasi dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Al Ishsal Ishak.

"Objektif utama mesyuarat ini diadakan adalah untuk mengembangkan lagi pembangunan infrastruktur telekomunikasi di Pulau Pinang, selaras dengan visi Pulau Pinang 2030 iaitu kekeluargaan, hijau dan pintar untuk inspirasi negara," katanya pada sidang media di pejabatnya tadi.

Turut hadir, CEO Digi, Albern Murty; CEO Maxis, Gokhan Ogut; CEO Celcom, Idham Nawawi; dan Ketua Pegawai Teknikal U Mobile, Woon Ooi Yen.

Kon Yeow berkata, kerajaan negeri teruja untuk melaksanakan pelan itu dengan kerjasama dengan semua syarikat telekomunikasi.

"Mesyuarat seperti ini adalah julung kali diadakan oleh kerajaan negeri iaitu Pulau Pinang. Semestinya juga kita mahu Pulau Pinang sebagai teraju sebagai negeri berteknologi tinggi dan pintar.

Artikel Berkaitan:

"Dengan pelaksanaan pelan ini, ia dapat memperbaiki lagi kualiti dan liputan jalur lebar, mengurangkan harga kepada pengguna, membolehkan akses internet untuk semua dan mengembangkan rangkaian gentian optik," katanya.

Sementara itu, Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari berkata, beliau akan mempengerusikan mesyuarat bulanan di bawah Jawatankuasa Infrastruktur Telekomunikasi Pulau Pinang bagi memastikan pelan tersebut berjalan lancar.

"Buat masa ini, kerajaan negeri belum menyenaraikan rancangan dan projek yang akan dilaksanakan di bawah Pelan Induk Kesalinghubungan Pulau Pinang ini.

"Bagaimanapun, setiap bulan saya akan adakan mesyuarat dengan tujuh syarikat telekomunikasi ini bagi memastikan pelan ini dilaksanakan mengikut perancangan.

"Kita belum perincikan rancangan yang akan dilaksanakan di bawah pelan itu, ia mungkin mengambil masa enam bulan untuk diumumkan," katanya.

Tambahnya, antara yang akan dibincangkan dalam mesyuarat bulanan itu nanti adalah cara untuk mengoptimumkan infrastruktur telekomunikasi bagi memberi manfaat kepada pihak komersial dan orang ramai.