PRK Sandakan: Polis buka enam kertas siasatan

Penduduk Pulau Berhala menggunakan jambatan selepas turun dari bot untuk mengundi pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Sandakan di pusat mengundi di SK Tanjung Papat 1 dan 2 hari ini. - Foto Bernama
Penduduk Pulau Berhala menggunakan jambatan selepas turun dari bot untuk mengundi pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Sandakan di pusat mengundi di SK Tanjung Papat 1 dan 2 hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SANDAKAN - Polis membuka enam kertas siasatan daripada 12 laporan yang diterima sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan sehingga jam 12 tengah malam, semalam.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, tiga daripada kertas siasatan itu membabitkan laporan khianat poster dan banting iaitu dua di bawah Seksyen 427 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan satu di bawah Seksyen 426 akta yang sama.

Katanya, tiga lagi laporan iaitu satu masing-masing di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana menyebarkan fitnah boleh membawa aib, Seksyen 24 (b) Akta Pilihan raya 1954 kerana mengadakan ceramah tanpa permit dan Seksyen 10 (a) akta yang sama mengenai pemberian wang kepada pengundi.

Empat daripada kertas siasatan itu telah dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan keputusan diberi ialah tiada tindakan lanjut, katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya 12 laporan polis itu dibuat oleh calon dan wakil parti politik yang bertanding.

Omar berkata, sepanjang tempoh berkempen PRK Sandakan sejak 28 April lepas hingga 11.59 malam semalam, sebanyak 362 permit ceramah dan kempen telah diluluskan oleh Ketua Polis Daerah Sandakan. Dalam pada itu, beliau berkata polis Sabah telah menyediakan seramai 874 orang iaitu melibatkan 123 pegawai dan 751 anggota bagi semua jenis penugasan pada PRK Sandakan ini.

Beliau memberi jaminan keadaan keselamatan di daerah ini terkawal termasuk di sempadan perairan melibatkan juga penugasan Pasukan Polis Marin dan Pasukan Gerakan Am yang ditempatkan di Pulau Langkayan, Selingan dan Nunuyan.

Justeru, Omar berkata orang ramai tidak perlu risau tentang sebarang isu keselamatan kerana jumlah pegawai dan anggota polis yang bertugas adalah lebih daripada mencukupi. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Artikel Disyorkan