Sultan Johor hadiahkan pemandu teksi pakaian

A
A

JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menghadiahkan dua set baju kepada 20 pemandu teksi bertuah di daerah ini.

Set baju berkenaan diserahkan secara peribadi di Istana Pasir Pelangi, di sini, semalam.

Sultan Ibrahim bertitah, baginda berkenaan menghadiahkan pakaian berkenaan kerana pemandu teksi itu sering menyapa setiap kali baginda melewati Jalan Stulang Laut.

“Pada hari ini (semalam), saya memanggil mereka ke Istana Pasir Pelangi dan memberikan dua set pasangan baju setiap seorang.

“Mereka ini sentiasa melambai setiap kali saya melalui Jalan Stulang Laut,” titah Sultan Ibrahim kepada Royal Press Office.

Titahnya, tindakan pemandu teksi itu adakalanya meredakan tekanan dan rasa sedih.

“Kadang-kala melihat senyuman serta lambaian mereka beramai-ramai hilang perasaan tekanan atau sedih,” titahnya.

Sementara itu, pemandu teksi berkenaan berkata, mereka tidak akan melupakan perkara tersebut kerana ia merupakan kenangan terindah di dalam hidup mereka.

Set pakaian disampaikan sendiri oleh Sultan Ibrahim di Istana Pasir Pelangi.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia