X

Kindly register in order to view this article
!

UMNO harus bangkit dengan semangat baharu: Jamil Khir

Jamil Khir Baharom
A
A

ALOR SETAR - UMNO harus kembali kepada semangat baharu dan bergerak sebagai sebuah parti yang memiliki semangat untuk terus berjuang mempertahankan Melayu dan memartabatkan Islam.

Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, UMNO baharu hanya untuk mereka yang bersih, berjuang dan mengasihi bangsa dan agamanya.

Menurutnya, tidak dinafikan tugas amat berat menanti UMNO untuk membina semula parti keramat orang Melayu ini.

“Sempena hari ulang tahun UMNO ke-73, marilah kita gerakkan kesatuan ummah untuk melakukan penghijrahan ke arah perpaduan yang lebih sejahtera. Satukan tekad untuk pastikan Islam kembali memimpin negara tercinta ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jamil Khir berkata, UMNO dihidupkan dengan keringat, darah, air mata dan pengorbanan sehingga ia menjadi parti keramat yang menjadi ikhtiar Melayu untuk mengangkat wadah Melayu dan Islam sebagai perjuangan.

“Setelah 73 tahun, kita sebagai generasi pewaris UMNO menggalas amanah ini dan harus mendepaninya dengan bijaksana. Patah sayap bertongkat paruh, namun menyerah tidak sekali,” katanya.

Menurutnya, namun janganlah mengharapkan kejayaan dengan pantas kerana parti harus dibersihkan terlebih dahulu.

“Ayuh semua ahli bangkit. Yakinlah dengan janji ALLAH SWT bahawa kejayaan dan kemenangan adalah milik orang-orang yang bersatu di bawah panji-panji kebenaran dan mengorak langkah perjuangan dengan penuh kesabaran,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!