Istimewanya Naja, lumpuh otak namun hafal 30 juzuk al-Quran

Naja membacakan potongan ayat al-Quran yang dihafalnya.
Naja membacakan potongan ayat al-Quran yang dihafalnya.
A
A
A

ALLAHUAKBAR. ALLAH maha besar. Meskipun menghidap Cerebral Palsy atau lumpuh otak, namun seorang kanak-kanak dari Mataram, Indonesia dikurniakan kelebihan luar biasa di mana dia mampu menghafal 30 juzuk al-Quran.

Bukan itu sahaja, Hafiz cilik dikenali sebagai Naja, 9, juga boleh meneka dan menyambung dengan tepat surah dari mana-mana ayat sehingga ke halaman berapa.

Di dalam fikiran peserta Hafidz Indonesia 2019 ini bagaikan terhampar setiap lembaran kalam ALLAH itu.

Menurut ibu Naja, Dahlia Andayani, anaknya itu dilahirkan seperti kanak-kanak normal lain dan pada awalnya dia dan suami tidak menyedari keadaan sebenar Naja.

Bagaimanapun doktor mengesahkan Naja menghidap kelumpuhan otak apabila perkembangannya tidak seperti bayi lain.

“Saya juga kagum dengan kemampuan Naja yang mampu menghafal kitab suci al-Quran dengan cepat. Malah, saya juga belum pernah mengajarnya mengaji,” katanya.

Menerusi video dimuat naik di Youtube dan kini tular di media sosial, Naja berjaya meneka surah dan membaca potongan ayat hanya berdasarkan muka surat yang diberikan salah seorang juri.

Kehebatan Naja membuatkan hakim dan semua orang yang berada di studio kagum hingga menitiskan air mata. - Tribun News

Artikel Berkaitan: