Hubungan kelantan, Persekutuan baik: Ahmad

Ahmad Yakob
Ahmad Yakob
A
A
A
KOTA BHARU - Hubungan kerajaan negeri dan Persekutuan adalah baik sepanjang setahun pemerintahan Pakatan Harapan (PH), kata Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.

Ahmad berkata, walaupun terdapat kelemahan dalam beberapa perkara namun beliau gembira dengan aspek keterbukaan media yang ditonjolkan PH selain hubungan kepegawaian yang bertambah baik.

"Kita ada hubungan baik kerajaan dengan kerajaan walaupun parti berlainan, fahaman berlainan, tapi dari segi hubungan kerajaan adalah baik.

"Kami menghormati kerajaan (Persekutuan) yang dipilih oleh rakyat," katanya selepas merasmikan Program Madinah Ramadan di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini, malam tadi.

PH menyambut ulang tahun kemenangan pertama mereka pada Khamis lalu, selepas berjaya menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ditanya apakah harapan pada tahun kedua pemerintahan PH, Ahmad, yang juga Timbalan Mursyidul Am PAS berkata beliau berharap agar kerajaan menumpukan usaha untuk menyempurnakan manifesto yang dijanjikan kepada rakyat pada PRU14 yang lalu.

"Politik dan pilihan raya ini sebenarnya untuk rakyat memilih pemimpin dan pemimpin pula telah membuat janji dalam manifesto.

"Jadi kita mahu melihat mana-mana parti yang memerintah (Persekutuan mahupun negeri) hendaklah menumpukan kepada (penunaian janji). Kami (Kelantan) juga sedang berusaha (untuk menunaikan manifesto) terutama apabila kami dapat royalti minyak," katanya.- Bernama

Artikel Berkaitan: