PH perlu layan negeri pembangkang dengan adil, saksama

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah menyambut ulang tahun pertama pemerintahannya selepas menumbangkan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei tahun lalu. (Gambar kecil:Dr Jeniri Amir)
Kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah menyambut ulang tahun pertama pemerintahannya selepas menumbangkan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei tahun lalu. (Gambar kecil:Dr Jeniri Amir)
A
A
A

BEGITU cepat masa berlalu. Kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah menyambut ulang tahun pertama pemerintahannya selepas menumbangkan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei tahun lalu.

Satu daripada 60 janji dalam manifestonya, seperti yang terkandung dalam Janji 24 manifesto, adalah menghidupkan semangat sebenar konsep federalisme.

Ketika BN memerintah, terdapat diskriminasi dan layanan buruk yang tidak adil terhadap kerajaan pembangkang termasuk dari segi agihan pendapatan dan royalti minyak. Apa yang sepatutnya menjadi tanggungjawab kerajaan Persekutuan tidak dilaksanakan sewajarnya.

PH mahu mewujudkan Malaysia Baharu yang berbeza berbanding Malaysia di bawah pemerintahan BN. Malaysia Baharu bermaksud baharu dari segi gaya dan corak kepemimpinan termasuk bagaimana cara ia melayan negeri pembangkang.

PH sebagai pakatan yang pernah berada di pihak pembangkang dan beberapa negeri menjadi pembangkang, tentu tahu akan bagaimana perasaan dan kesannya apabila ia tidak dilayan dengan adil serta saksama.

Adakah PH mahu membalas dendam dan mengamalkan pilih kasih dan diskriminasi?

Kalau PH mahu betul-betul membawa negara ini ke hadapan, ia sepatutnya mengotakan janji yang terkandung dalam manifestonya. PH tidak perlu mengungkit apa yang dilakukan oleh BN pada zaman pemerintahannya. Laksanakan mandat yang diberi oleh rakyat yang mahu transformasi dan reformasi menyeluruh dilakukan di negara ini.

Menurut buku manifesto PH, Malaysia ialah negara Persekutuan yang mengamalkan konsep federalisme, tetapi konsep itu terlalu banyak dirobek oleh pentadbiran UMNO dan BN yang rakus merampas kuasa negeri-negeri ke peringkat pusat.

Artikel Berkaitan:

“PH akan menghidupkan semula konsep federalisme yang sebenar. Kami mempunyai janji-janji khas untuk Sabah dan Sarawak iaitu seperti yang digariskan pada bab selepas ini. Pada waktu yang sama, kami juga akan menghidupkan semangat federalisme tulen di semua negeri,” menurut manifesto itu.

Pembahagian hak dan tanggungjawab seperti yang tersenarai dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan akan dihormati dan perubahan Jadual Kesembilan untuk menambah kuasa kerajaan pusat akan diminimumkan.

Kuasa negeri-negeri akan diperkukuhkan dengan menurunkan beberapa kuasa yang sesuai kepada negeri seperti kuasa untuk pentadbiran pengangkutan, kebajikan, perkhidmatan sosial, pertanian dan perlindungan alam sekitar.

Untuk membiayai kuasa negeri yang dipulangkan, PH berjanji sekurang-kurangnya 10 peratus daripada hasil cukai pendapatan akan dipulangkan kepada negeri-negeri tempat pembayar cukai bermastautin.

Pada tiga tahun pertama pentadbirannya, 50 peratus daripada peruntukan belanja pembangunan akan dikhaskan kepada lima negeri termiskin iaitu Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu dan Perlis.

Secara khusus PH berjanji menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet untuk menyemak dan melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963, memastikan ekonomi Sabah dan Sarawak berkembang dengan lebih pesat demi kemakmuran rakyat, mencipta 200,000 peluang pekerjaan di Sabah dan Sarawak dalam tempoh lima tahun, serta menjadikan kedua-dua negeri terbabit model masyarakat harmoni.

Ia juga berjanji memperbaiki kualiti pendidikan dan khidmat kesihatan, membela nasib penduduk luar bandar dan kawasan pedalaman, mempertahankan kedaulatan dan keselamatan Sabah, desentralisasi kuasa kepada Sabah dan Sarawak serta memulangkan dan menjamin hak tanah adat.

Bagaimanapun, keputusan pemindahan Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak dari Kuching ke Kota Kinabalu dibuat tanpa berunding mengenai perpindahan dengan Ketua Menteri Sarawak. Ia ternyata dibuat sepihak dan bercanggah dengan Artikel 121 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Di bawah Artikel itu tiga pihak perlu berunding bagi pemindahan Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak iaitu Ketua Menteri Sarawak, Ketua Menteri Sabah dan Ketua Hakim Mahkamah Tinggi.

Kerajaan negeri Sarawak menegaskan ia tidak pernah dibawa berunding mengenai keputusan itu dan membantah pelaksanaannya diteruskan. Langkah itu dianggap tidak berperlembagaan.

Tuntutan rakyat

Keputusan untuk memindahkan pejabat berkenaan pada 1 Mei lalu dikatakan dibuat oleh Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum dan hakim-hakim kanan beberapa bulan lalu dan diluluskan oleh Perdana

Menteri dan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong. PH perlu sedar, ia perlu mengambil tindakan yang selari dengan semangat Perlembagaan Persekutuan demi melindungi keluhurannya.

Satu lagi tindakan PH yang dikatakan tidak mengambil kira aspirasi dan tuntutan rakyat Sarawak terutamanya ialah langkahnya meminda Perkara1(2) Perlembagaan Persekutuan untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai mempunyai taraf sama dengan seperti pada 1963.

Setelah PH memerintah banyak projek yang diluluskan ketika zaman pemerintahan BN dibatalkan. Sarawak dan rakyat Sarawak tentu amat kecewa dengan tindakan berkenaan. Bagaimana kerajaan PH melayan tawaran kerajaan Sarawak untuk memberi pinjaman RM1 bilion bagi menyelesaikan isu lebih 1,000 sekolah daif juga menimbulkan persoalan tentang komitmen dan keikhlasannya. Namun, PH telah menghulurkan RM100 juta untuk tangani masalah berkenaan. PH tidak harus dilihat mempolitikkan isu ini. Soal sekolah daif berkaitan dengan masa depan murid dan negara. Justeru, masalah berkenaan perlu ditangani dengan komitmen politik yang ikhlas.

Disebabkan tindakan PH itu, kerajaan negeri Sarawak terpaksa mengambil alih projek berkenaan sedangkan ia menjadi tanggungjawab PH sebagai kerajaan Persekutuan untuk menyalurkan peruntukan pembangunan berkenaan.

Rakyat di negeri pembangkang ialah rakyat Malaysia juga dan negeri berkenaan juga ialah negeri di dalam Persekutuan Malaysia. Mereka juga membayar cukai dan menjalankan tanggungjawab lain seperti rakyat di negeri yang dipimpin oleh PH.

Kalau PH mahu dilihat sebagai kerajaan yang berbeza daripada kerajaan BN, ia harus melayan semua negeri dengan adil dan saksama terutama dari segi peruntukan.

Bukankah negeri pembangkang juga berada di bawah langit Malaysia dengan rakyat dari negeri-negeri lain juga bersekolah dan bekerja di negeri terbabit? Politik cara lama perlu dihumban ke dalam tong sampah.

Cara PH mentadbir negara perlu berada di atas kepentingan politik yang dangkal dan sempit bagi memastikan kewibawaannya tidak tercalar, selain memastikan Malaysia diurus di atas landasan yang betul. Hanya dengan itu, baru ia dapat maju dan makmur serta menepati aspirasi rakyat yang telah memberi mandat kepadanya pada 9 Mei 2018. Kita tentu tidak mahu rakyat di negeri pembangkang berasa dianaktirikan dan didiskriminasikan.

***Profesor Madya Dr Jeniri Amir ialah pensyarah dan penganalisis politik di Universiti Malaysia Sarawak