Ikan gred A jadi pilihan orang ramai pada Ramadan

Ikan segar yang dijual di Pasar Besar Kedai Payang menjadi pilihan masyarakat setempat ketika tinjauan hari ini. - Foto Bernama
Ikan segar yang dijual di Pasar Besar Kedai Payang menjadi pilihan masyarakat setempat ketika tinjauan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kedatangan bulan Ramadan bukan sahaja memberi keberkatan kepada umat Islam, malah turut membawa rezeki berganda bagi peniaga barangan basah di Pasar Besar Kedai Payang (PBKP) di sini.

Tinjauan ke pasar utama di Terengganu itu mendapati bilangan pengunjung lebih ramai berbanding hari biasa walaupun keadaan ekonomi kini yang dikatakan agak suram.

Peniaga ikan kerapu, Syed Omar Syed Sagap, 27, berkata pada bulan-bulan biasa, jumlah pengunjung pada hari Jumaat agak berkurangan memandangkan ia adalah cuti hujung minggu.

Bagaimanapun, keadaan bertukar sebaliknya pada bulan Ramadan kerana umat Islam biasanya tidak lokek berbelanja lebih untuk memastikan anggota keluarga dapat menikmati makanan lebih sedap sekali sekala.

"Pada bulan-bulan biasa, purata jualan ikan kerapu yang dikategorikan sebagai ikan gred A adalah sekitar 60 kilogram (kg) sahaja sehari, tetapi pada tengah hari ini sahaja saya sudah menjual lebih 100kg termasuk kepada pengusaha restoran, kedai makan dan orang ramai," katanya ketika ditemui di PBKP.

Ikan gred A ini adalah ikan yang lazimnya mahal di pasaran.

Syed Omar berkata walaupun permintaan terhadap ikan kerapu meningkat dengan mendadak pada bulan puasa, harganya masih kekal seperti biasa iaitu sekitar RM28 sekilogram.

Artikel Berkaitan:

Ikan segar yang dijual di Pasar Besar Kedai Payang menjadi pilihan masyarakat setempat ketika tinjauan hari ini. - Foto Bernama
Ikan segar yang dijual di Pasar Besar Kedai Payang menjadi pilihan masyarakat setempat ketika tinjauan hari ini. - Foto Bernama

Seorang lagi peniaga ikan Mohd Akhtar Razali, 45, berkata ikan gred A yang lain seperti tenggiri dan jenahak turut menjadi pilihan utama pelanggan pada bulan puasa.

Walaupun harga ikan-ikan itu agak mahal iaitu antara RM35 dan RM38 sekilogram, ia sangat laris dan cepat habis dijual berbanding ikan gred lain.

"Saya mula berniaga seawal 7 pagi dan sebaik datang sudah ramai pelanggan yang menunggu bagi mendapatkan bekalan ikan segar.

"Jika hari-hari biasa ramai pelanggan tetap yang datang, tetapi bulan puasa ini ramai pelanggan baharu dan kami golongan peniaga bolehlah dapat pendapatan lebih sedikit untuk belanja raya," katanya yang sudah lebih 20 tahun berniaga ikan di situ.

Sementara itu, peniaga sotong, Mohd Aidil Ali, 18, yang baru sahaja setahun berjinak-jinak dalam perniagaan ikan berkata beliau sangat teruja dengan sambutan pelanggan pada bulan Ramadan.

Musim mencandat sotong yang bermula secara kebetulan tidak jauh jarak masanya dengan bulan Ramadan turut menyumbang kepada peningkatan jualan, katanya.

"Awal-awal musim mencandat ini, sotong masih banyak dan kena pula pada bulan puasa...jadi dapatlah bekalan sotong yang segar-segar dalam pelbagai saiz.

"Bulan puasa ini jualan pun meningkat dua kali ganda berbanding hari biasa kerana ramai pelanggan yang datang terdiri daripada peniaga bazar Ramadan," katanya yang memulakan perniagaan seawal 6.30 pagi.

Bekalan sotong diperoleh daripada nelayan sejurus mereka pulang mencandat pada awal pagi menjadikan sotong yang dijual segar serta bebas daripada bahan pengawet, katanya lagi.

Sotong candat dijual pada harga RM27 hingga RM30kg bergantung pada saiz.- Bernama