Terima kasih Malaysia...!

No Image Caption
A
A
A
PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh penyokong atas sokongan tidak berbelah bahagi sepanjang kempen Harimau Malaya dalam kejohanan Piala AFF Suzuki 2018 yang berakhir di tempat kedua.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasmi FAM pada Sabtu, Hamidin berterima kasih kepada penyokong dan Ultras Malaya yang sama-sama hadir ke Stadium My Dinh, Hanoi untuk membakar semangat skuad kebangsaan sehingga tamat perlawanan.

Tidak lupa juga katanya kepada rakyat Malaysia di tanah air yang tidak putus mendoakan kejayaan pasukan dan kepada yang setia menyokong dari perlawanan pertama peringkat kumpulan menentang Kemboja hingga cabaran berakhir di tangan Vietnam.

“Kegagalan Malaysia pada malam ini bagaimanapun tidak seharusnya terus diratapi dan kita perlu terus memandang ke hadapan bagi mempersiapkan pasukan kebangsaan kita menghadapi pula Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang akan bermula tahun depan,” katanya.

Pada masa sama, beliau juga memberikan penghargaan khas kepada Tengku Mahkota Johor, Tengku Ismail Sultan Ibrahim selaku Pengerusi Malaysian Football League (MFL) atas sokongannya.
Artikel Berkaitan:


Muat naik di Facebook itu juga disertakan dengan grafik menunjukkan jumlah pemain dari setiap pasukan Liga Malaysia, paling ramai dari Johor Darul Ta’zim (JDT) seramai tujuh pemain, diikuti Perak (5 pemain), Kedah dan Kuala Lumpur (3 pemain) dan seterusnya.

“Ucapan terima kasih juga kepada semua pasukan negeri/kelab yang telah memberikan sumbangan dari segi pemain mereka untuk membarisi skuad 23 pemain kita ke saingan Piala Suzuki AFF 2018 ini.”

Akhir sekali tidak dilupakan penghargaan kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang turut hadir ke Bukit Jalil dan Hanoi untuk memberikan semangat, juga seluruh ahli Exco dan kakitangan FAM. - Astro Awani