Menggetah bawang di pantri

A
A

MENGGETAH bawang adalah sebuah peribahasa yang bermaksud kata-kata yang menyakitkan hati. Hari ini, ia lebih dikenali sebagai ‘membawang’ dalam kalangan masyarakat dan ia makin mendapat tempat dalam kehidupan kita.

Menggetah bawang atau bergosip boleh berlaku dalam organisasi terutamanya di bilik kopi atau pantri. Kupasan pada minggu ini cuba mengetengahkan impak aktiviti menggetah bawang kepada organisasi.

Asasnya, pantri yang disediakan oleh organisasi mempunyai serampang dua mata. Pertama, ia sebagai kemudahan untuk para pekerja. Kedua, ia diwujudkan bagi mengelakkan pembaziran masa dalam kalangan para pekerja yang meninggalkan organisasi demi secangkir kopi panas dan sekeping pisang goreng cheese.

Ada kalanya masa yang diambil untuk minum pagi atau petang ini melangkaui waktu yang dihadkan dan mengganggu operasi organisasi. Jadi, tidaklah menghairankan jika ada urusan kerja tidak dapat diselesaikan dalam tempoh tertentu akibat pegawai yang dipertanggungjawabkan keluar minum.

Mutakhir ini terdapat organisasi yang mula memikirkan kewajaran kewujudan pantri dalam organisasi. Justeru, ada organisasi bertindak menutup pantri atau mengecilkan saiznya dengan pelbagai alasan terutamanya penjimatan ruang.

Adakah alasan ini munasabah? Kewujudan pantri perlu dilihat sebagai tempat mencambah dan menyuburkan hubungan sosial yang lebih harmoni dalam organisasi.

Malangnya, ia telah disalahgunakan oleh pekerja sebagai tempat menggetah bawang atau bergosip selain menyediakan minuman untuk diri sendiri. Ada ketika waktu berada di pantri menyamai atau melebihi masa yang diambil ketika minum pagi di luar organisasi.

Fenomena bergosip di pantri menjadi kebimbangan yang menghantui organisasi. Berita panas, khabar angin dan gosip sebegini cepat tular ke seluruh organisasi. Operator telefon tanpa wayar sentiasa aktif bergerak menyebarkan berita yang belum tentu kesahihannya.

Selain itu, pantri juga boleh menyebabkan kewujudan kumpulan-kumpulan kecil dan tidak formal dalam organisasi seperti kumpulan usrah/keagamaan, kumpulan kebajikan dan ‘geng makcik/pakcik bawang’ adalah untuk memenuhi keperluan peribadi ahli-ahlinya.

Keeratan sesama ahli kumpulan tidak formal sangat berguna dan mampu mempengaruhi operasi dan keharmonian organisasi.

Namun, kajian kelakuan organisasi menunjukkan bahawa kumpulan tidak formal juga boleh membawa kecenderungan negatif, memudaratkan dan menghalang usaha organisasi mencapai matlamatnya.

Teori dan penyelidikan pengurusan organisasi menemukan satu konsep komunikasi tidak formal yang dikenali sebagai khabar angin atau grapevine, yang wajar dilihat kepentingannya dalam mempengaruhi hala tuju organisasi.

Khabar angin adalah sesuatu yang sukar dibendung oleh organisasi dan ia boleh menghubungkan pekerja dalam semua arah. Mesej yang disalurkan melalui khabar angin biasanya belum ditentukan keabsahannya.

Khabar angin jika dilihat dari sudut yang positif turut membawa kebaikan sama ada ia berlaku dalam pantri atau di mana-mana situasi yang tidak formal. Dalam situasi ini, biasanya maklumat yang dikumpulkan adalah hakikat yang sebenarnya dan bercirikan keikhlasan.

Kajian menunjukkan 75 hingga 95 peratus maklumat yang dibawa oleh khabar angin adalah tepat. Pengurus yang mendekatkan diri dengan isu khabar angin berupaya mengumpul maklumat semasa yang berlaku dalam organisasi.

Kesemua luahan rasa dikumpulkan dan boleh dianalisis kewajarannya bagi merangka persekitaran sosial dan kualiti kerja yang lebih cemerlang. Sekiranya diurus dengan cekap dan berkesan, khabar angin dapat menggariskan norma-norma sosial di tempat kerja seperti apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan oleh seseorang pekerja.

Namun begitu, terdapat pekerja yang mengambil kesempatan dengan memanipulasikan maklumat dalam khabar angin untuk kepentingan diri. Mereka mencipta fakta, bukan melaporkan apa yang sepatutnya.

Tambah mengharu-birukan keadaan adalah apabila tiada pihak yang mahu bertanggungjawab dalam penyebaran khabar angin. Ini berbeza dengan komunikasi formal yang mana punca maklumat boleh dikesan.

Melihat kepada perkembangan teknologi gajet pintar masa kini, adalah tidak adil jika pantri yang dipersalahkan dalam hal gosip dan menggetah bawang. Buktikan bahawa ruang pantri yang selesa disediakan oleh organisasi berupaya menjadi tapak semaian untuk membenihkan ukhuwah, bukannya lokasi menggetah bawang.

* Prof Dr Zafir Khan Mohamed Makhbul ialah Timbalan Dekan, Fakulti Ekonomi dan PengurusanUniversiti Kebangsaan Malaysia


PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.