Mengenang suasana kehidupan di pinggir sungai

Pengunjung berpeluang belajar teknik membuat makanan tradisi Pahang.
Pengunjung berpeluang belajar teknik membuat makanan tradisi Pahang.
A
A
A

MARAN - Sebut sahaja Chenor pasti terlintas di fikiran kita ialah Pesta Chenor yang memang sinonim dengan lokasi tersebut.

Chenor berada di daerah Maran terletak kira-kira 15 kilometer (km) dari bandar Temerloh adalah sebuah pekan dan mukim yang terdiri beberapa kampung kecil.

Penulis sempat menghabiskan masa bersantai di pesta itu baru-baru ini dan kemeriahannya dapat dirasai melalui aktiviti yang ditawarkan.

Lebih menarik apabila pesta berkenaan turut menjadi perhatian ribuan pelancong dalam dan luar negara.

Paling istimewa aktiviti sukan air menjadi identiti dan tarikan pengunjung memaku perhatian penulis.

Chenor yang terletak di pinggir Sungai Pahang berubah suasana pada hari tersebut dengan deruman bot laju dikendalikan peserta berpengalaman yang mempamerkan kemahiran masing-masing.

Orang ramai tidak melepaskan peluang menyaksikan pertandingan bot laju sambil berkelah di tepi sungai.
Orang ramai tidak melepaskan peluang menyaksikan pertandingan bot laju sambil berkelah di tepi sungai.

Selain itu pengunjung berpeluang menyertai aktiviti mengutip dan dan melepas etak serta kijing.

Artikel Berkaitan:

Aktiviti air juga dimeriahkan dengan acara sukan bantal air.

Pesta kali ke lapan yang berlangsung di Bandar Lama Chenor selama empat hari itu turut memperlihatkan acara kesenian dan budaya.

Kampung Boy

Pesta Chenor yang menampilkan pelbagai budaya dan makanan tradisi bertujuan memelihara seni dan budaya di Chenor.

Turut menarik perhatian penampilan 'Kampung Boy' dari Terengganu, Shukor Khamis yang meluangkan masa melayan peminat bergambar dan menceritakan pengalamannya bersama haiwan peliharaan bapanya.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan produk tempatan, penganjuran Bazar Kampung menjadi medan terbaik buat orang ramai yang ingin merasai dan menyimpan sebagai tanda kenangan.

Aktiviti mewarna turut disediakan kepada pengunjung kanak-kanak.
Aktiviti mewarna turut disediakan kepada pengunjung kanak-kanak.

Melibatkan usahawan tempatan, pengunjung boleh rambang mata melihat pelbagai kuih tradisi antaranya kuih pepena yang sinonim dengan Chenor.

Selain itu, bazar tersebut turut mengetengahkan makanan lain seperti dodol,pais patin,sambal hitam,gulai asam rong,serta produk kraf kampung dan tenun Pahang.

Selain itu antara keistimewaan di lokasi tersebut kerana deretan bangunan kedai lama yang masih setia menanti kehadiran pengunjung.

Jika mahu menikmati keindahan dan reka bentuk rumah tradisional, terdapat Rumah Bersejarah Chenor yang sedia menanti kehadiran orang ramai.