Ringgit teruskan momentum menurun

A
A

RINGGIT meneruskan aliran menurunnya untuk ditutup rendah berbanding dolar AS hari ini seiring dengan prestasi kebanyakan mata wang negara sedang pesat membangun dalam keadaan ketidakpastian berhubung rundingan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China, kata para peniaga.

Pada 6 petang, ringgit turun kepada 4.1570/1600 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.1520/1550 pada Khamis.

Penganalisis pasaran FXTM Han Tan berkata ciapan Presiden AS, Donald Trump di laman Twitternya yang mengancam untuk menaikkan tarif ke atas import China yang kemudiannya dilaksanakan pada Jumaat menjejaskan sentimen kerana ia akan memberi kesan kepada mata wang pengeksport, termasuk ringgit.

Di pasaran tempatan, penurunan nilai ringgit juga adalah disebabkan oleh aliran keluar dana asing, kata Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Phillip Capital Management Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan.

Beliau berkata, setakat ini bagi tahun ini Malaysia mencatatkan aliran keluar dana terbesar di rantau ini.

Dilaporkan bahawa Malaysia mencatatkan aliran keluar portfolio tertinggi dalam tempoh 10 bulan pada April sebanyak RM11.2 bilion, menongkah arah berbanding trend aliran portfolio ke pasaran sedang pesat membangun.

“Bagaimanapun, bagi perspektif jangka panjang, Malaysia dari segi asasnya stabil termasuk dalam sistem perbankan. Kami berharap Bank Negara Malaysia akan menyediakan sesuatu yang menarik bagi memastikan kestabilan ringgit dan boleh diniagakan di paras 4.10, tetapi ini akan mengambil masa,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan ‘Kemakmuran Bersama’ yang diumumkan kerajaan Pakatan Harapan sempena ulang tahun pertamanya yang bertujuan meningkatkan kuasa beli rakyat dan mengecilkan jurang pendapatan dan kekayaan boleh memberi sedikit hala tuju positif bagi ekonomi dan ringgit.

Ringgit juga diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan diniagakan rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0503/0534 daripada paras 3.0447/0486 pada Khamis dan turun berbanding pound Britain kepada 5.4091/4147 daripada 5.3984/4040.

Ringgit menyusut berbanding yen kepada 3.7843/7880 daripada 3.7831/7862 dan turun berbanding euro kepada 4.6683/6733 daripada 4.6482/6528. - Bernama