Exco diarah siasat jalan mendap

Keadaan di Jalan Bukit Lama yang retak selepas beberapa hari hujan lebat di Pulau Pinang (Foto: Kiriman pembaca)
Keadaan di Jalan Bukit Lama yang retak selepas beberapa hari hujan lebat di Pulau Pinang (Foto: Kiriman pembaca)
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang mengarahkan Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari supaya menjalankan siasatan ke atas retakan dan mendapan di cerun Jalan Persekutuan antara Jalan Bayan Lepas dan Balik Pulau, di sini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kontraktor terlibat perlu menjalankan siasatan bagi mengetahui punca kejadian berikutan Jalan Bukit Lama tersebut baru dibaiki.

Menurutnya, terdapat dua kemungkinan retakan itu berlaku antaranya integriti pada tembok penahanan yang baharu dipasang.

"Bagi kejadian retak pada jalan yang baru dibaiki, ada dua kemungkinan iaitu integriti tembok penahan baru yang baru perlu diperiksa semula, sama ada ia kukuh atau sebaliknya.

"Kemungkinan retakan berpunca dari dinding penahan. Oleh itu, jurutera perlu memastikan sama ada tembok tersebut dapat menahan beban lalu lintas di jalan tersebut atau pun tidak," katanya pada sidang media di Universiti Sains Malaysia pagi tadi.

Kon Yeow berkata, selain faktor itu, kemungkinan penyebab kepada keretakan itu disebabkan kepadatan bahan pada penambahan jalan tersebut.

"Mereka perlu melihat sama ada kepadatan itu dilakukan secara betul untuk menanggung beban lalu lintas. Oleh itu, kerajaan negeri menggesa siasatan dijalankan segera oleh kontraktor dan jurutera yang terlibat.

"Projek ini dijalankan oleh sebuah syarikat konsesi di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam menjalankan kerja-kerja pembaikan serta membaiki jalan itu sekiranya berlaku retakan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Semalam, Zairil dalam sidang medianya mengesahkan jalan tersebut masih selamat digunakan yang mana tebing cerun yang terjejas akan dibaiki segera untuk kegunaan orang awam.

Tambahnya, JKR sudah dimaklumkan mengenainya dan kerja pembaikan akan dijalankan segera, malah orang ramai juga tidak perlu bimbang kerana kerja pembaikan tidak membabitkan laluan utama di kawasan itu.

Terdahulu, tular di media sosial gambar jalan yang baharu dibaiki itu mengalami keretakan dan mendapan di tebing cerun berikutan hujan lebat melanda negeri ini sejak beberapa hari lalu.

Oktober tahun lalu, tebing cerun tersebut runtuh selepas hujan lebat dan ia dibaiki sejurus kejadian tersebut.