Hanya pandai menilai orang lain

A
A
A

SETIAP kali memaklumkan bidang kepakaran saya dalam psikologi kaunseling, secara spontan ada yang memberikan maklum balas kepada saya, “syoknya jadi ahli psikologi kerana boleh kenal orang lain”.

Selain itu ada juga yang inginkan kepastian, “Betul ke, kita boleh nilai orang lain hanya menerusi pandangan mata, cara percakapan dan berdasarkan gerak badan?”.

Kesemua persoalan tersebut menyebabkan saya hanya tersenyum. Ini kerana, tidak semudah itu untuk menilai orang lain walaupun pakar dalam bidang berkenaan. Apa yang jelas, untuk mengenal seseorang, saya perlu membuat penerokaan terhadap mereka sama ada menerusi ujian psikometriks, autobiografi, temu bual dan juga sesi kaunseling.

Pun begitu, masih ramai yang ‘terlalu bijak’ untuk menilai orang lain tanpa melalui proses disiplin ilmu berkenaan.

Sebetulnya, sikap suka menilai orang lain sudah menjadi lumrah dalam masyarakat kita hari ini. Pendek kata, pepatah Melayu ‘tak kenal maka tak cinta’ sudah dipinggirkan begitu sahaja.

Pada hari ini, orang yang tidak pernah mengenali kita pun boleh menilai diri kita sesuka hati mereka. Apa yang lebih parah, hanya jadikan kata-kata orang lain serta berita angin sebagai panduan untuk menilai diri kita.

Akhirnya kita ‘dihukum’ sebelum mereka sempat mengenal diri kita. Walaupun tidak salah untuk bertanya khabar orang lain tentang diri kita, namun terus membuat kesimpulan atas maklumat yang diterima adalah suatu kesalahan yang besar.

Apa yang paling ditakuti, boleh terjerat dalam perangkap fitnah. Para hukama pernah berkata, “sekiranya kamu hendak mengetahui akan tingkah laku, peribadi atau kelakuan seseorang yang soleh dan taat maka tidak perlu engkau bertanya di sana-sini. Cukup dengan kamu melihat siapakah kawannya dan siapakah orang-orang yang disayanginya dan dari itu kamu akan mengetahui peribadinya kerana dia akan mengikuti kelakuan dan perbuatan kawan-kawannya”.

Artikel Berkaitan:

Kadangkala, ada juga yang menilai secara salah mereka yang telah berjaya. Bahasa mudahnya, mereka yang berjaya banyak dikaitkan dengan mengampu, menggunakan kabel, menipu dan pelbagai sindiran dan gelaran lagi. Walhal, bukan mudah seseorang itu untuk berjaya.

Sebetulnya, kejayaan yang dicapai oleh seseorang itu umpama model bongkah ais atau iceberg model di mana apa yang mereka nampak di permukaan air jauh lebih kecil berbanding dengan apa yang ada di bawah permukaan air.

Hakikatnya, mereka hanya nampak kemewahan dan keseronokan hasil kejayaan seseorang itu, sedangkan apa yang mereka tidak nampak adalah lebih besar daripada itu. Ini kerana mereka yang berjaya adalah sentiasa mempunyai iltizam dan daya tahan yang tinggi walaupun penuh dengan pancaroba.

Pada hemat saya, mereka yang hanya pandai menilai orang lain adalah disebabkan oleh kegagalan mereka melihat diri mereka secara mendalam atau lebih tepat kegagalan mengenal diri sendiri.

Malah Socrates pernah berkata, “mengenal diri sendiri adalah permulaan kepada kebijaksanaan”. Menurut Buya Hamka, “timbulnya kebijaksanaan adalah kerana ilmu, ketetapan hati dan kerana meletakkan sesuatu pada tempatnya, serta menilik sesuatu berdasarkan nilainya. Orang yang bijaksana tepat pendapatnya, jauh pandangannya dan baik tafsirnya. Dia dapat memilih mana yang benar dan mana yang salah, memilih mana yang patut dikerjakan dan mana yang patut ditinggalkan”.

Persoalannya, kenapa masih ramai begitu sukar untuk mengenal diri sendiri?. Menurut pakar psikologi, mereka yang sukar untuk mengenal diri sendiri kerana adanya sindrom penolakan dalam diri atau dikenali denial syndrome.

Secara umumnya, mereka yang ada sindrom berkenaan amat sukar untuk menerima realiti kelemahan yang ada pada diri, sebaliknya suka mengaitkan kelemahan tersebut disebabkan oleh orang lain. Sedarlah! Jika kita berterusan menafikan kelemahan yang ada pada diri, akhirnya akan kecundang dengan ‘senjata’ keangkuhan yang ada dalam diri.

Sempena Ramadan yang mulia dan berkat ini, cukuplah bersandiwara dengan diri sendiri. Gunalah peluang ini sebaik mungkin untuk bermuhasabah dan bertaubat atas kesalahan lampau.

Hakikatnya, kita sendiri yang tahu apa dosa dan salah kita selama ini. Sebelum terlambat, jangan hanya pandai menilai orang lain sahaja sebaliknya perbaikilah diri sendiri ketika masih berkesempatan.

* Prof Madya Dr Huzili Hussin Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan & Teknokomunikasi Universiti Malaysia Perlis