Buaya baham, seret budak ke dalam sungai

buaya
A
A

BANJARMASIN - INDONESIA. Seorang budak perempuan mati selepas diserang buaya di belakang rumahnya, sebelum tubuhnya diseret reptilia berkenaan ke dalam sungai.

Kejadian tragis itu berlaku di Desa Oni, Kecamatan Kualin, Kabupaten Timor Tengah Selatan, Nusa Tenggara Timur.

Mangsa dikenali sebagai Kristin Rame dan berusia 12 tahun.

Ketua Siasatan Jenayah Timur Tengah Selatan, Jamari berkata, kejadian itu turut disaksikan bapa mangsa, Karel Rame.

"Semasa anaknya diterkam, Karel sempat melawan buaya berkenaan namun gagal menyelamatkan mangsa," kata Jamari semalam.

Tambah Jamari, buaya berkenaan dipercayai naik ke daratan selepas air sungai Oematan melimpah akibat hujan lebat berterusan di Kecamatan Kualin.

Difahamkan, kejadian pada jam 3 petang (waktu tempatan) itu turut disaksikan beberapa penduduk kampung yang bertindak memaklumkan perkara itu kepada pihak polis.

"Kami tiba di lokasi kejadian 15 minit kemudian dan dengan bantuan penduduk kampung, kami berjaya menjerat dan menangkap buaya tersebut.

"Namun, mangsa sudah meninggal dunia dan terdapat kesan gigitan pada kaki kirinya," kata Jamari.

Menurut statistik Badan Konservasi Sumber Daya Alam (BKSDA) seramai 10 penduduk Timur Tengah Selatan maut diserang buaya sejak Januari. - Kompas.com