Mudahnya bayar zakat dengan Fitrah Online

No Image Caption
A
A
A

SUSAH nak bayar zakat fitrah di kaunter kerana ramai orang lah!

Payah jugak nak bayar
zakat fitrah dengan beratur panjang lagi!

Macammana nak bayar zakat fitrah ini, dahlah sibuk dengan urusan kerja!

Bila masalah aku nak bayar zakat fitrah, sempat ke tidak, kalau ada onlinekan senang!

Segelintir masyarakat memberi seribu alasan dan pelbagai rungutan untuk menunaikan zakat fitrah ini.

Sehingga ada yang terlepas untuk membayar zakat fitrah mereka kerana kesibukan kerja dan terlupa hendak membayarnya hingga berakhirnya bulan Ramadan.

Sekiranya terlupa menunaikan zakat fitrah pada bulan Ramadan tahun ini selepas waktu terakhir yang ditetapkan maka jangan bertangguh dan melengahkan bayaran sehingga Ramadan tahun depan, maka hukumnya adalah berdosa.

Oleh sebab itu, wajib qada zakat fitrah walaupun terlewat daripada waktu yang ditentukan dan segera menunaikannya kepada golongan yang berhak menerimanya.

Ada sesetengah individu menunggu saat-saat akhir, yakni sebelum mendirikan solat sunat Aidilfitri untuk mengeluarkannya dengan alasan itulah waktu yang paling utama.

Sesungguhnya dalam kitab Fiqh al-Manhaj, jilid pertama telah membahaskan secara terperinci mengenai waktu mengeluarkan Zakat Fitrah ini seperti berikut:

“Sesiapa yang mengeluarkan zakat fitrah bermula dari 1 Ramadan, hukumnya adalah SAH dan HARUS. Jika ia mengeluarkannya pada masa selepas tenggelam matahari pada akhir Ramadan sehinggalah sebelum solat sunat hari raya, maka ketika itu adalah waktu yang paling afdal (WAJIB). Adapun orang yang mengeluarkannya selepas solat sunat Aidilfitri, maka hukumnya adalah MAKRUH, tetapi sesiapa yang melambatkannya sehingga terbenam matahari 1 Syawal, maka dia adalah berdosa (HARAM), namun ia tetap wajib mengeluarkan dan ketika itu ianya dianggap sebagai qada’.”

Artikel Berkaitan:

No Image Caption



Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka, Abdul Halim Ismail berkata, agensi itu memperkenalkan sistem pembayaran zakat fitrah dalam talian bagi mengelakkan individu terlepas dan tertangguhnya menunaikan pembayaran zakat fitrah.

”Zakat Melaka mewujudkan pembayaran zakat fitrah secara online melalui aplikasi SenangPay sejak awal Ramadan lalu.

“Pembayar hanya perlu klik https://www.izakat.com/online_payment/fitrah. Kemudiannya, mengisi maklumat ringkas pembayar dan tanggungan dan membuat penyemakkan kadar zakat yang perlu dibayar sama ada RM7 atau RM14 berdasarkan jenis beras yang dimakan oleh individu itu sendiri,” katanya.

Setelah memasukkan butiran maklumat, langkah ketiga pembayaran yang dilakukan sama ada menggunakan kad bank atau online banking dan seterusnya bayaran terus, maka zakat fitrah individu tersebut telah dilunaskan.

Di samping itu juga, Skim At-Taisir yang bakal diwujudkan bagi pemotongan gaji zakat bulanan secara online dan boleh dibuat terus melalui akaun bank individu itu sendiri.

Dengan menggunakan aplikasi SenangPay, pemotongan zakat di dalam akaun muzakki dan dikreditkan ke dalam akaun kutipan zakat secara automatik pada setiap bulan, tanpa perlu lagi membuat bayaran secara manual di kaunter atau pindahan kredit online.

Kata Abdul Halim, pelaksanaan skim baru ini, mampu menaikkan lagi kutipan zakat pada masa hadapan di samping memberi kemudahan kepada pembayar zakat di Negeri Melaka dalam melaksanakan kewajipan mereka.

“Zakat Melaka menyeru seluruh masyarakat Islam agar dapat menunaikan kewajipan zakat ini sama ada zakat fitrah mahupun zakat harta iaitu zakat pendapatan, wang simpanan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, emas dan perak.

“Termasuk juga perniagaan, saham, zakat pertanian dan penternakan serta galian, jika telah mencukupi syarat-syarat, wajib mengeluarkan zakat,” katanya.

Semoga Allah SWT membalas sebaik-baik balasan apa yang diberikan dan melimpah berkat ke atas apa yang ditinggalkan.

Dalam masa sama, Zakat Melaka mengucapkan Salam Ramadan Al-Mubarak kepada masyarakat Islam khususnya di Melaka.

Mudah-mudahan pahala ibadah yang dilakukan pada bulan mulia ini akan lebih baik dan berganda di sisi ALLAH SWT. Insha-ALLAH.