X

Kindly register in order to view this article
!

Rogol bergilir-gilir: 5 termasuk 2 remaja akhirnya didakwa

Laporan Sinar Harian pada 2 Mei lalu.
A
A

SEREMBAN – Lima lelaki termasuk dua remaja bawah umur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban di sini hari ini atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual terhadap dua remaja perempuan di sebuah rumah di Kampung Kuala Sungkak, Kuala Pilah.

Bagaimanapun, dua remaja berusia 16 dan 17 tahun terbabit bersama Ameer Nashraf Arizan, 21, Muhamad Ariff Jamaludin, 18, Mohd Nordin Yaacob, 22, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Junaidah Mohd Isa.

Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua Ameer Nashraf didakwa merogol seorang remaja 15 tahun di rumah berkenaan pada jam 11.40 malam pada 30 April lalu dan kira-kira jam 4 pagi 1 Mei.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara selama tempoh hingga 20 tahun dan sebat.

Muhamad Ariff didakwa merogol mangsa sama kira-kira jam 4.15 pagi pada 1 Mei manakala Mohd Nordin didakwa merogol dan melakukan persetubuhan luar tabii tanpa kerelaan mangsa kira-kira jam 1 pagi pada tarikh sama.

Mohd Nordin yang melakukan persetubuhan luar tabii didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara antara lima tahun dan tidak lebih daripada 20 tahun dan boleh disebat.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua pelajar dicabul, dirogol bergilir-gilir enam remaja

Tertuduh yang berusia 17 tahun pula didakwa melakukan persetubuhan luar tabii terhadap mangsa sama kira-kira jam 11 malam pada 30 April lalu.

Tertuduh yang berusia 16 tahun pula melakukan amang seksual dengan menyentuh bahagian badan dan memeluk seorang lagi mangsa berusia 15 tahun pada jam 11.50 malam 30 April.

Bagi kesalahan amang seksual itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan disebat jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Norshazwani Ishak ketika pendakwaan membantah sebarang jaminan diberikan namun meminta mahkamah memberikan jaminan tinggi serta syarat tambahan jika membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin.

Bagaimanapun, peguam P Jayaprakash merayu supaya mahkamah memberikan jumlah jaminan yang rendah terhadap kesemua anak guamnya.

Junaidah kemudiannya membenarkan Ameer Nashraf, Muhamad Ariff dan tertuduh berusia 17 tahun masing-masing diikat jamin RM7,000; tertuduh berusia 16 tahun RM6,000 manakala Mohd Nordin RM14,000 bagi dua pertuduhan.

Beliau turut mengarahkan kesemua tertuduh tidak dibenarkan menghampiri dan berhubung melalui sebarang bentuk komunikasi dengan mangsa dan perlu melapor diri di balai polis berhampiran serta menetapkan 17 Jun ini sebagai sebutan semula kes.