Orang Selangor rugi RM7.5 juta ditipu Macau Scam

Fazlisyam
A
A

SHAH ALAM - Sejumlah RM7.5 juta kerugian dicatatkan melibatkan kes Macau Scam di Selangor dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor, Asisten Komisioner Fazlisyam Abdul Majid berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 129 kertas siasatan dibuka melibatkan 67 mangsa wanita dan 62 mangsa lelaki.

“Berdasarkan statistik itu juga menunjukkan bahawa lelaki dan wanita mempunyai peratusan yang hampir sama mudah terpedaya dengan tipu helah scammer.

“Kebanyakan mangsa sindiket kes penipuan dalam talian ini terdiri daripada kakitangan swasta dan individu yang berusia 50 tahun dan ke atas,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya lagi, sindiket ini didapati menyamar sebagai pegawai bank, polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan beberapa penguatkuasa lain bijak mengeksploitasi keadaan dan telah dilatih bagi memperdayakan mangsa.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah panik dan terpengaruh sekiranya menerima panggilan daripada agensi tertentu kemudian meminta supaya memindahkan wang ke akaun lain kerana ia bukanlah tatacara kerja sebenar yang dilaksanakan oleh mana-mana agensi.

“Jika ada yang menerima panggilan seperti itu, orang ramai boleh terus sahaja mematikan perbualan berkenaan, dan menghubungi semula agensi itu menggunakan talian rasmi yang diperoleh daripada laman web rasmi dan bukan dari nombor telefon yang diberikan daripada pemanggil berkenaan,” katanya lagi.